fbpx
Nasional

Adakah Kementerian Pengangkutan anggap semua rakyat Malaysia minum arak?

APAKAH Kementerian Pengangkutan menganggap semua rakyat Malaysia ini mengambil arak apabila mereka mengeluarkan kaji selidik berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan kepada pemandu?

Kalau majoriti rakyat negara ini terutama yang beragama Islam tidak pernah minum arak bagaimana mereka boleh tahu berapa banyak kandungan alkohol yang akan memabukkan dan tidak boleh memandu?

Semalam Kementerian Pengangkutan mengeluarkan kenyataan seperti yang disiarkan BERNAMA bahawa mereka kini membuat soal selidik dalam talian mengenai tindakan lebih tegas ke atas pemandu mabuk.

Kementerian itu melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) menjalankan soal selidik dalam talian mengenai “Pengambilan Alkohol dan Penguatkuasaan Undang-Undang Yang Lebih Tegas Terhadap Kesalahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk”.

Ini bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan orang awam berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan dalam undang-undang atau peraturan yang akan dipinda di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].


Satu lagi persoalan, apakah ini satu lahi helah untuk melindungi pemandu mabuk?

Sebabnya ialah, sementara soal selidik hendak dikumpul, dianalisa, kemudiannya dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya pihak penggubal undang-undang tentu akan mengambil masa yang lama.

Selepas ini apabila soalan mengenai perkara ini diajukan kepada menteri pastinya jawapan yang diberikan ialah ‘kita sudah membuat soal selidik dan hasil sedang dikaji, ditelili, dianalisa’ dan pelbagai jawapan retorik yang lain.

Agak-agak kitalah, sebelum soal selidik ini selesai dan berjaya melepasi puluhan tingkat birokrasi, berapa ramai lagi yang bakal menjadi korban pemandu mabuk ini?

Apa yang pelik di sini ialah Kementerian Pengangkutan mahu mendapatkan pandangan orang ramai berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan?

Bukankah ini sepatutnya diserahkan kepada pakar? Kepada pada doktor dan penyelidik? Bagaimanakah orang ramai boleh memberikan berapa kandungan alkohol yang boleh dibenarkan?

Adakah Kementerian Pengangkutan menganggap semua rakyat Malaysia yang terasnya adalah Islam ini mengambil alkohol? Sebab itu soal selidik ini dikeluarkan?

Sedangkan malapetaka, kemusnahan, kematian dan pelbagai jenis masalah lagi yang dicetuskan oleh para pemandu mabuk ini sudah jelas di depan mata.

Kementerian Pengangkutan sepatutnya boleh terus menggubal undang-undang yang lebih tegas ke atas pemandu mabuk ini tanpa perlu bersoal selidik lagi.

Pelbagai pihak daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak kerajaan, malah pihak penguatkuasa undang-undang termasuk polis sudah menyarankan hukuman yang lebih berat.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah membuat perakutan pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol.

Ketua Pengarah Miros, Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian institut tersebut terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kemalangan di negara ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah merayu kerajaan supaya merangka hukuman mandatori atau meminda akta sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam.

Pegawai Pendidikannya NV Subbarow berkata, ia berikutan ketiadaan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk dibimbangi akan menyebabkan mereka yang tidak bersalah menjadi korban.

Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) pula telah menghantar memorandum kepada kerajaan supaya meminda hukuman kepada pemandu mabuk dengan mengenakan denda lebih tinggi, penjara dan hukuman sebat bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador sendiri mahukan hukuman maksimum dikenakan ke atas pemandu mabuk.

Daripada gesaan-gesaan yang dibuat itu, Kementerian Pengangkutan sebenarnya tidak memerlukan soal selidik untuk menggubala undang-undang yang lebih keras ke atas pemandu mabuk.

Mereka ini tetuama Miros dan CAP telah membuat kajian bertahun-tahun mengenai pemandu mabuk ini.l Malah pelbagai syor telah mereka kemukakan kepada kerajaan supaya undang-undang lebih tegas dikenakan ke atas pemandu mabuk.

Tidak perlu lagi soal selidik orang ramai. Miros, CAP dan PDRM semuanya pakar. Dan mereka sudah membuat pelbagai penyelidikan.

Kalau hendak tahu kandungan alkohol yang boleh dibenarkan, tanyalah pakar, rujuk kepada pengamal perubatana atau kepada pihak Polis Diraja Malaysia Sendiri (PDRM).

Mereka merupakan pihak yang ada autoriti untuk memberitahu kerajaan apakah kandungan alkohol yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Apakah tidak cukup lagi dengan bukti-bukti kerosakan yang telah dilakukan oleh para pemabuk ini di jalan raya.

Mereka ini langsung tidak mengenal mangsa. Polis yang membuat sekatan untuk menjaga keselamatan awam ketika Perintah Kawalan Pergerekan (PKP) pun mereka langgar hingga maut. 

Cuba kita imbau balik, pemandu mabuk ini tidak pernah mengenal mangsa. Tidak kira anak kecil, ibu mengandung, bapa yang dalam perjalanan mencari rezeki waima anggota polis telah menjadi mangsa mereka.

Kita tengok apa yang berlaku kepada Koperal Safwan? Hingga kini kematiannya akibat dilanggar oleh pemandu mabuk belum terbela.

Jadi, apa lagi yang diperlukan oleh Kementerian Pengangkutan untuk membolehkan mereka menggubal undang-undang untuk menyekat pemandu mabuk ini daripada terus membunuh?

Sungguh tidak faham akan tujuan soal selidik kementerian ini. Bagaimanakan orang ramai yang tidak minum arak boleh memberikan pandangan mengenai kandungan alkohol yang sepatutnya dibenarkan?  – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button