Nasional

Pemandu mabuk rempuh polis direman semula

INDIVIDU disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh Koperal Safwan Muhammad Ismail sehingga maut berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), direman semula selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Datuk Fadzil Ahmad berkata perintah reman sehingga Isnin depan terhadap lelaki berusia 44 tahun  itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kajang.

“Kes ini sekarang disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan nyawa,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula 4 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan  dan tangkapan semula terhadapnya dibuat selepas tempoh reman itu berakhir semalam.

Ditanya mengenai keputusan ujian air kencing suspek, Fadzil berkata pihaknya masih menunggu laporan sampel air kencing dari hospital.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi Ahad lepas, Koperal Safwan, 31, yang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

Dalam kejadian itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan.

Ekoran itu, Mohd. Zaid berkata, laporan polis telah dibuat oleh penyelia SJR  manakala pemandu Hilux itu yang turut mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button