fbpx
Nasional

KPN harap hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk sebabkan kematian

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap pemandu kenderaan yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai sehingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman maksimum atas perbuatan mereka.

Beliau berkata hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perkara seperti itu tidak berulang.

“Ada segelintir individu yang tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan. Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Hospital Serdang, di sini, hari ini.

Abdul Hamid meluangkan masa hampir satu jam di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu bagi menziarah jenazah anggota polis yang maut dalam kemalangan di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), awal pagi ini.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

Abdul Hamid menyifatkan insiden yang berlaku pada hari ke-10  bulan Ramadan ini sebagai sesuatu yang amat memilukan hati.

“Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir.

“Saya juga difahamkan arwah yang mempunyai sembilan adik beradik ialah seorang pendiam. Ada antara ahli keluarga arwah bekerja sebagai polis iaitu bapanya yang juga bekas komander VAT69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara,” katanya.

Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000. – BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button