BeritaNasional

Anak-anak tahfiz terpaksa berhenti, sejak akaun Yayasan Akalbudi dibekukan

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa beliau tahu ramai anak-anak tahfiz terpaksa berhenti ekoran masalah kewangan yang dihadapi oleh pusat tahfiz berkenaan berikutan penyumbang tunggal iaitu Yayasan Akalbudi dibekukan akaunnya.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, Datuk Khairuddin Tarmizi, 55, berkata beliau sedar akan masalah yang dihadapi oleh pusat tahfiz berkenaan.

Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Perak, merupakan saksi pihak pendakwa berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Zaidi Zainal.

Pusat tahfiz itu adalah sebahagian daripada 25 projek yang dibiayai oleh Yayasan Akalbudi, selain sumbangan kepada pihak yang memerlukan dibuat secara berkala.

Antaranya, senarai 27 sumbangan tahunan kepada golongan fakir, asnaf, daif, anak-anak yatim; sumbangan untuk pembinaan atau penambahbaikan surau, masjid, rumah anak yatim, sekolah; bantuan perayaan, serta pencetakan naskhah al-Quran.

Saksi semasa sesi soal balas oleh peguam bela turut diminta mengecam serta mengesahkan setiap satu projek yang dibiayai oleh yayasan berkenaan.

 

SOALAN: SAYA AKAN TUNJUKKAN BEBERAPA GAMBAR, IDD8, BOLEH SAHKAN SM IMTIAZ ULUL ALBAB MELAKA?

JAWAPAN: YA

SOALAN: YB TAHU TAK SM IMTIAZ INI, DITANGGUNG SEPENUHNYA YAYASAN AKALBUDI DAN DSZH?

JAWAPAN: TAHU

SOALAN: TAHU ATAU TIDAK SELEPAS AKAUN YAYASAN DIBEKUKAN, RAMAI PELAJAR TERPAKSA BERHENTI?

JAWAPAN: TAHU

 

Saksi yang sama juga mengakui setiap urusan dilakukan oleh Ahmad Zahid dibuat beserta dengan baiah atau aku janji.

Beliau juga mengakui tahu sebahagian daripada pendapatan peribadi Ahmad Zahid juga dimasukkan ke dalam yayasan itu yang bertujuan bagi membantu golongan yang kurang berupaya.

 

SOALAN: YB TAHU SUMBANGAN ATAU SUMBER DANA YAYASAN ADALAH 100 PERATUS DARIPADA DATUK SERI ZAHID HAMIDI, DARIPADA LAHIRNYA YAYASAN SUMBANGAN ADALAH DARI DATUK SERI ZAHID HAMIDI?

JAWAPAN: SAYA SETUJU

SOALAN: KALAU SAYA KATAKAN YB BIASA DENGAN PERANGAI DAN CARA DATUK SERI ZAHID HAMIDI.

JAWAPAN: SETUJU

SOALAN: APA FAHAMAN YB BERKENAAN POLITICAL DONATION?

JAWAPAN: SELALUNYA UNTUK MEMBANTU MASYARAKAT TERUTAMANYA YANG SUSAH.

SOALAN: YB TAHU ADA JUGA PIHAK-PIHAK YANG BERI SUMBANGAN KEPADA YAYASAN MELALUI DATUK SERI ZAHID HAMIDI?

JAWAPAN: TAK PASTI

SOALAN: TAHU ATAU TIDAK DATUK SERI ZAHID HAMIDI KALAU ADA SUMBANGAN KEPADA YAYASAN, DIA AKAN ADAKAN SATU BAI’AH? TAHU ATAU TIDAK APA BAI’AH INI?

JAWAPAN: AKAD, AKUJANJI.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

(Visited 684 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button