fbpx


Nasional

A400M TUDM bawa 14 tan peralatan hospital, perubatan ke Sabah

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat angkut jenis A400M untuk menerbangkan 14 tan muatan kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia dan peralatan perubatan Tawau, Sabah hari ini

Juruterbang pesawat, Mejar Mohd Shafique Mohd Amin berkata, penerbangan itu turut melibatkan penghantaran beberapa peralatan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Kota Kinabalu.

“Antara peralatan yang dihantar adalah seperti “personal protective equipment (PPE), isolation gown, mask dan Tyvek suit” bagi kegunaan pusat kesihatan di Sabah.

“Selain itu, terdapat juga peralatan perubatan daripada Mercy Malaysia yang turut dihantar ke Kota Kinabalu,” katanya.

Seramai empat pegawai dan 29 anggota dari KKD turut serta dalam penerbangan tersebut bagi membuat persiapan pengoperasian Hospital Medan yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.


Pesawat A400M itu telah berlepas daripada Pangkalan Udara Subang pada pukul 8.55 pagi tadi dan selamat tiba di Tawau pada pukul 11.55 pagi.

Sebaik tiba, proses penurunan kelengkapan Hospital Medan ATM dibantu oleh Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU), 8 Rejimen Sempadan, 7 Rejimen Askar Melayu Diraja, 26 Rejimen Askar Melayu Diraja, Angkatan Pertahanan Awam, JIM, Majlis Perbandaran Tawau, 575 Pasukan Pelabuhan dan Jabatan Penjara Malaysia.

FOTO TWITTER KKM

Ini kali pertama TUDM melaksanakan misi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM sepanjang tempoh Covid-19 ini.

Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja Malaysia (KKD) akan mengoperasikan Hospital Medan ATM di Tawau dengan kerjasama KKM.

Hospital medan tersebut akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau. Ia akan mempunyai kapasiti 100 katil termasuk 4 katil ICU yang akan memberikan rawatan khusus kepada kes-kes selain Covid-19 bagi membolehkan Hospital Tawau memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes Covid-19.

Pesawat A400 tersebut turut digunakan untuk membawa pulang sampel “swab test” Covid-19 dari Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan bagi dilaksanakan ujian di makmal semenanjung Malaysia.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button