Nasional

Laksana PKPB satu keputusan sukar – Saifuddin

LANGKAH kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merupakan satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kerajaan, dengan menggunakan kebijaksanaan, perlu membuat keputusan yang seimbang mengambil kira kepentingan ekonomi dan pada masa sama melihat kepada situasi perkembangan semasa wabak COVID-19 di negara ini.

“Seperti perumpamaan Melayu, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’, Kalau tak diteruskan (kegiatan ekonomi), ekonomi terencat. Bank Negara Malaysia kata kita (negara) rugi, atau Menteri Kewangan kata kita rugi RM2.4 bilion sehari, tapi kalau nak dibenarkan bergerak dari segi sektor ekonomi, kita ada masalah COVID-19 yang masih belum selesai.

“Kerajaan memainkan peranan untuk memberikan ruang (menjalankan sektor ekonomi) kerana kita  (kerajaan) terpaksa, tiada pilihan.  Kalau sambung lagi larangan untuk kegiatan ekonomi, kita akan alami krisis ekonomi yang lebih teruk daripada 1997. Kita akan hilang 1.8 juta pekerjaan,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Saifuddin berkata kerajaan mengambil langkah berhati-hati dan hanya membuat keputusan itu setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang bersesuaian dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Kita tak buat keputusan sendiri, ia bergantung kepada fakta dan keperluan yang tak boleh dielakkan,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan juga mengambil kira semua aspek sebelum keputusan tersebut dicapai termasuk melihat langkah yang diambil beberapa negara dalam melaksanakan kelonggaran pergerakan.

“Kita belajar daripada pengalaman mereka (negara lain). Kita lihat di mana kesilapannya dan kita cuba elak daripada melakukan kesilapan yang sama …ada negara yang benarkan festival atau perayaan, jadi orang ramai ke sana (hadirinya). Kita pun ada perayaan, Aidilfitri dan kita dah buat keputusan, tak payah beraya beramai-ramai dan tak dibenarkan pergerakan balik kampung,” katanya.

Mengenai PKPB yang akan bermula esok, Saifuddin berkata setiap individu bertanggungjawab memastikan disiplin diri sentiasa terjaga bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Apa yang penting disiplin kita. Pastikan hanya pergi kerja dan balik kerja, jangan lepak. Jaga kebersihan, selalu basuh tangan dan amalkan penjarakan sosial sebab akhirnya baik dari segi ekonomi, sosial, politik atau apa pun ia bergantung kepada disiplin kita dan kerjasama semua untuk memerangi COVID-19,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula mulai esok (4 Mei).

Beliau berkata kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati di bawah PKPB dengan sektor yang akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa. – BERNAMA

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button