Ulang tahun kemerdekaan: Raja Muda Perlis mahu rakyat Perlis kibar Jalur Gemilang dan bendera Perlis
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat Perlis supaya sama-sama menterjemahkan solidariti dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Perlis di premis kediaman dan juga tempat kerja masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini sebagai tanda bersatu-padu melawan pandemik COVID-19.
“Semangat cintakan negara hendaklah sentiasa diperteguh, negara akan dapat mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi serta bersatu hati di kalangan rakyat walaupun berlainan kaum, agama dan latar belakang” terang Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Chuping, Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan agar semua rakyat sentiasa menghormati Jalur Gemilang dan bendera negeri dengan mengelakkan penggunaan secara tidak wajar termasuk dengan maksud menghina ataupun merendahkan status bendera itu sebagai lambang negara dan juga negeri.
Untuk rekod, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh didakwa melalui Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi setiap kesalahan.
Sementara itu Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak menyatakan bahawa bersempena ‘Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia’ pada kali ini, pihak Rejimen 504 Askar Wataniah turut mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera kebangaan ‘Kuning Biru’ negeri Perlis di sekeliling kawasan kem bagi sama-sama menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan anggota.
‘Disamping itu ia juga bertujuan untuk menyemai semangat cintakan negara yang tinggi dan dapat mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan’ jelas beliau.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mewakili rejimen tersebut mengucapkan kepada seluruh warga Rejimen Artileri DiRaja ‘Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Ke-64’ pada 15 Ogos 2021 baru-baru ini.