VAKSIN Covid-19 yang ditempah Malaysia mungkin tidak berkesan dengan mutasi baharu virus itu. Gambaran itu mendorong Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berusaha meredakan kegusaran terhadap vaksin Covid-19.
Presiden, Dr. Subramaniam Muniandy memberitahu, beliau percaya ketakutan terutamanya terhadap strain baharu yang dilaporkan dikesan di Britain itu diperbesar-besarkan.
Merujuk kepada jenis vaksin baharu yang disebut “mRNA”, kata Dr. Subramaniam, vaksin seperti itu mudah disesuaikan dengan mutasi.
“Mutasi mengubah turutan asid amino dalam protein virus. Mudah untuk mengubah turutan vaksin “mRNA” itu untuk protein baharu itu,” katanya.
Beliau menambah, tiada bukti mengatakan mutasi dari Britain lebih berbahaya berbanding strain lain.
“Virus akan selalu bermutasi. Secara amnya, strain yang berkembang adalah strain yang lebih mudah berjangkit tetapi kurang mudarat,” kata beliau.
Dr. Subramaniam menyambut baik keputusan kerajaan mendapatkan pelbagai jenis vaksin kerana tidak wajar bergantung pada satu jenis vaksin sahaja memandangkan kekurangan data.
Beliau berkata, para pakar bimbang akan tempoh yang lama iaitu tiga sehingga empat bulan untuk meluluskan vaksin itu seperti yang disebut oleh Khairy dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Proses ini sebahagian besarnya mengkaji data. Kita tidak ulang percubaan. Kami berharap proses lulus telah bermula dan dapat dipendekkan tanpa diambil mudah,” katanya.
Dr. Sanjay Rampal dari Universiti Malaya pula berkata, masih banyak perkara tidak pasti mengenai mutasi Covid-19.
“Mutasi sekarang ini nampaknya akan meningkatkan kadar jangkitan tetapi dilihat tidak mempengaruhi keterukan penyakit itu,” katanya.
Beliau berkata, generasi vaksin sekarang pasti berkesan, tetapi kesan mutasi masa depan pada keberkesanan vaksin masih perlu dikaji.
Beliau juga berpendapat, tiada keperluan untuk melarang pelawat dari negara-negara di mana mutasi baharu itu dikesan kerana risiko mengimport virus dapat dikurangkan dengan kuarantin wajib.
Kerajaan komited membeli vaksin yang merangkumi 82.8% populasi negara dengan satu juta dos pertama akan diberikan pada Februari depan kepada kumpulan sasaran seperti barisan hadapan atau frontliners, warga emas dan golongan yang mempunyai penyakit tidak berjangkit.
Sebanyak 20% penduduk negara ini akan menerima vaksin keluaran Pfizer, 10% vaksin dari fasiliti Covax di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan 10% lagi adalah vaksin dari AstraZeneca.
Bagi 42.8% penduduk yang lain, kerajaan sedang dalam proses akhir rundingan dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya untuk mendapatkan vaksin daripada mereka.
Isnin lalu, Singapura menjadi negara Asia pertama yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mempertahankan kelewatan Malaysia mendapatkan vaksin Covid-19 kerana faktor kos.
Khairy berkata, Singapura menandatangani perjanjian pembekalan vaksin beberapa bulan sebelum Malaysia kerana kemampuan kewangan republik itu jauh lebih besar berbanding Malaysia. – FMT – SM