EkonomiNasionalUncategorized

Jualan langsung rekod pendapatan RM25.7 bilion-Menteri KPDNHEP

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pencapaian industri jualan langsung di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 43.6% atau RM25.7 bilion pada 2020 berbanding RM17.9 bilion direkodkan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, laporan dikeluarkan Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA) menunjukkan industri jualan langsung di Malaysia berada di pada kedudukan keenam dunia berbanding ketujuh sebelum ini serta keempat di rantau Asia Pasifik bagi hasil jualan langsung pada 2021.

“Industri jualan langsung menyumbang dengan ketara kepada pembangunan kemahiran, pertumbuhan teknologi, pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemerkasaan wanita yang kini menguasai 64% yang bergiat aktif dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia Peringkat Negeri Melaka di Mahkota Parade, Melaka.

Hari Industri Jualan Langsung dianjurkan KPDNHEP dengan kerjasama Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) dan Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA) berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober.

Sebanyak 22 syarikat jualan langsung yang berdaftar dengan KPDNHEP menyertai program berkenaan.

Jelasnya lagi, ia juga memperlihatkan bahawa industri jualan langsung merupakan salah satu bidang tumpuan yang berupaya menyumbang dalam mengukuhkan ekonomi negara.

“Selain itu, terdapat juga kepentingannya dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan (termasuk pendapatan tambahan) serta peluang perniagaan kepada masyarakat,” katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP menerusi Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL) bertanggungjawab untuk sentiasa mengawal selia industri jualan langsung selaras dengan peruntukan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 [Akta 500] termasuk garis panduan, peraturan dan syarat lesen yang berkuatkuasa.

Menurut beliau, jualan langsung adalah yang tertua dan paling tradisional di dunia, dan kini merupakan industri berjaya beroperasi di lebih 100 negara dengan saiz pasaran global bernilai USD200.1 bilion pada tahun ini dan dijangka mencecah USD286.7 bilion, menjelang 2028.

“Usaha dan strategi yang holistik perlu dilaksanakan bagi memastikan persepsi masyarakat mengenai perniagaan jualan langsung kekal positif memandangkan sebelum ini banyak pihak masih menganggap bahawa industri ini mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya.

Katanya, setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 398 lesen jualan langsung telah diluluskan dan masih sah untuk syarikat menjalankan operasi perniagaan yang berkonsepkan dan bercirikan jualan langsung dengan enam daripadanya adalah syarikat berdaftar di Melaka.

Menurutnya, kementerian menerusi bahagian penguatkuasaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang tersebut serta tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen jualan langsung syarikat. – SUMBER-MALAYSIAKINI – SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button