Politik

Muhyiddin dapat pasport untuk ke Bangkok

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasportnya bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas berpuas hati untuk melepaskan sementara pasport Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU itu, bermula hari ini sehingga 23 Februari ini.

Menurut Azura, walaupun bersetuju bahawa tujuan bekas Perdana Menteri ke Thailand bukan keperluan mendesak, mahkamah mempunyai budi bicara yang luas dan boleh digunakan selepas mengambil kira dan menimbangkan segala keadaan dalam sesuatu kes.

Bagi kes Muhyiddin, beliau berkata, mahkamah mendapati walaupun dikenakan sekatan, jaminan dan syarat jaminan, adalah tidak wajar pemohon dihalang menjalani kehidupan dan menggalas tanggungjawab seperti biasa selagi tidak disabitkan bersalah bagi pertuduhan dikenakan.

“Mahkamah bersetuju bahawa tujuan jaminan diberikan adalah untuk menjamin kedatangan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan pasport diserah bagi tujuan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.

“Mahkamah juga mendapati tiada bukti bahawa pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Kelmarin, pihak pendakwaan dilapor membantah permohonan Muhyiddin bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke Thailand pada 15 Februari ini.

Mengikut afidavit balasan terhadap permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, berkata Muhyiddin akan bertolak ke Bangkok pada jam 4.20 petang berdasarkan tiket penerbangan.

Lim berkata, tujuan Muhyiddin ke negara jiran berkenaan atas alasan bagi mengukuh dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan kenalan serta menghadiri acara pembukaan sebuah restoran diberi nama Phrigkiao.

Alasan itu dikatakan tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport sementara kepada pemohon.

Selain itu, pihak pendakwaan menegaskan risiko Muhyiddin untuk melarikan diri masih wujud kerana masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang difailkan pada 31 Januari lalu, Muhyiddin memohon pelepasan sementara pasport antarabangsa hingga 23 Februari ini bagi membolehkannya ke Bangkok.

Ia susulan kenalan rapat yang juga warga Malaysia membuka sebuah restoran masakan Thai dan mahu menjemput Presiden BERSATU itu bagi acara pembukaan sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin di Malaysia.

Menurut Muhyiddin, lawatan ke Thailand juga perlu untuk menziarah ahli perniagaan warga tempatan di negara berkenaan bagi membincangkan hal perniagaan yang menguntungkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Selain itu, ia bertujuan melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam di Bangkok bagi kesinambungan hubungan di luar lingkungan kerajaan.

Pada 29 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan beliau mendapatkan pasport secara kekal, namun melepaskan dokumen itu sementara bagi percutian bersama keluarga dan pemeriksaan kesihatan, masing-masing di London, United Kingdom (UK) serta Singapura.

Muhyiddin, 76, berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Bekas Perdana Menteri didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU berkaitan projek Jana Wibawa. — Berita Harian

Artikel berkaitan > Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button