Tragedi latihan perahu lumba: Usaha mencari Izzat Farhan diteruskan
TERUS mencari. Seorang remaja, Muhammad Izzat Farhan Ismail, 16, yang hilang selepas perahu lumba yang didayungnya bersama 17 orang pendayung lain, karam akibat angin kencang ketika sedang melakukan latihan di sungai Beladin, Sarikei.
Dalam kejadian yang berlaku petang semalam, perahu lumba itu karam berhampiran pangkalan LKIM Kampung Hulu Beladin kerana hilang kawalan dan merempuh kapal tongkang lalu terbalik.
Daripada 18 orang pendayung, 14 berjaya menyelamatkan diri manakala tiga lagi diselamatkan oleh orang awam dan seorang masih hilang.
Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaporkan diteruskan dengan bantuan beberapa agensi lain dan penduduk setempat.
Memetik laporan SarawakVoice, operasi bermula pagi tadi kira-kira pukul 9.35 dengan diketuai Ketua Balai Bomba Betong, PPgB Vincent Baling Yabi.
Mangsa yang masih hilang berasal dari Kampung Tengah Darat Beladin, merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin.
“Operasi SAR dengan pasukan bomba menurunkan bot di pangkalan feri Pusa-Beladin yang kemudiannya terus membuat pencarian awal bersama-sama agensi lain untuk aturan gerak kerja.
“Jarak laluan sungai dari pangkalan feri ke PKB adalah sejauh tujuh kilometer dan laporan radius pencarian serta logistik agensi lain yang terlibat sama dalam operasi ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – SM