fbpx
Nasional

Program PenjanaKerjaya bermula esok

Program Insentif Pengambilan Pekerja, PenjanaKerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan bermula esok.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataannya berkata, majikan yang mempunyai kekosongan jawatan dan sedang mencari pekerja boleh  mendaftarkan profil di penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

Bangunan Perkeso Kota Bharu diserang sekumpulan lelaki mengamuk ...

Beliau berkata, majikan yang telah mengambil pekerja melalui program itu mesti mendaftarkan pekerja-pekerja dengan Perkeso untuk caruman wajib.

“Mulai 1 Julai 2020, majikan boleh memilih nama pekerja yang diambil di bawah program ini melalui penjanakerjaya.perkeso.gov.my untuk kelulusan bayaran insentif.


“Insentif pengambilan pekerja akan dibayar pada bulan berikutnya selepas caruman Perkeso dibayar bersama dengan elaun mobiliti untuk pekerja layak, yang dibayar kepada pekerja melalui majikan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Azman menambah, majikan hanya perlu memohon insentif untuk setiap pekerja yang diambil bekerja sekali sahaja dan pembayaran insentif pada bulan berikutnya (selama enam bulan) akan dilakukan secara automatik.

Menurutnya, garis panduan permohonan serta terma dan syarat telah dikeluarkan kepada majikan hari ini dan boleh diperoleh di laman web www.perkeso.gov.my.

“Memandangkan PenjanaKerjaya akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, Perkeso menggesa individu yang masih menganggur termasuk siswazah dan lepasan sekolah untuk mendaftar di portal MyFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my),” katanya sambil menambah, pencari kerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi atau hadir ke pejabat Perkeso di seluruh negara.

Beliau berkata, Perkeso juga sedang meneliti peluang berkolaborasi dengan pelbagai agensi perkhidmatan pekerjaan swasta untuk meningkatkan prospek pekerjaan bagi pencari kerja. – SUMBER BERNAMA-SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button