Nasional

Mangsa ribut di Tanjong Bidara mula terima atap baharu

Mangsa ribut yang melanda tiga buah kampung di Tanjong Bidara, Masjid Tanah dekat sini mula menerima bantuan kepingan zink dan asbestos bagi menggantikan bumbung rumah yang rosak susulan kejadian yang melanda pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Gembur, Mohamad Azmi Sabtu berkata, bantuan awal itu mula diagih-agihkan kepada kesemua mangsa yang terlibat bermula hari ini.

“Tindakan segera ketika ini adalah untuk memperbaiki bumbung rumah yang rosak atau yang diterbangkan angin kerana dibimbangi jika hujan, ia mendatangkan kerosakan yang lebih teruk khususnya barangan di dalam rumah.

“Selain bantuan atap rumah kesemua mangsa membabitkan 70 buah rumah yang rosak telah menerima bantuan setiap keluarga sebanyak RM500 sumbangan peribadi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mula diterima selepas kejadian berlaku semalam.

“Selain itu juga, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga telah menyampaikan bantuan RM300 kepada semua mangsa yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.


Antara rumah yang rosak teruk akibat dilanda ribut kencang di Kampung Pasir Gembur, Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Menurut Mohamad Azmi, bagi lima buah rumah yang rosak teruk pula Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu membaikpulih rumah terbabit dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, sehingga lewat petang semalam rumah yang rosak akibat ribut yang melanda serta mengejutkan ramai penduduk meningkat daripada 56 kepada 70 buah rumah.

Menurutnya, sewaktu kejadian ribut melanda sebahagian penghuninya keluar bekerja dan tidak tahu rumah mereka rosak dilanda ribut manakala segelintir pula menetap di Kuala Lumpur dan hanya mengetahui selepas dimaklumkan jiran.

Beliau berkata, setakat ini hanya dua daripada empat keluarga melibatkan enam orang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Katanya, dua keluarga lagi menolak untuk berada di PPS kerana mereka menumpang di rumah saudara mara dan jiran terdekat.

Sementara itu seorang mangsa, Mohd. Zamri Mohd. Nasir, 66, berkata, dia melahirkan rasa lega apabila mendapat bantuan kepingan asbestos bagi menggantikan atap rumahnya yang diterbangkan angin kencang pagi semalam.

“Saya upah orang bagi memasang balik atap yang tercabut saya bimbang jika hujan berlaku mungkin banyak barang-barang dalam rumah rosak,” ujarnya.

Mohd. Azizi Makmor.

Bagi Mohd. Azizi Makmor, 57, bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan turut lega menerima bantuan kepingan zink bagi menggantikan yang diterbangkan angin kencang.

“Buat masa ini saya menetap di PPS di Kompleks Falak Al-Khawarizmi buat sementara waktu sementara bumbung rumah saya dibaiki semula,” ujarnya. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button