KesihatanNasionalPenyakit

Tiba masa kanak-kanak komorbid dilindungi

SELEPAS kumpulan berisiko tinggi dalam kalangan warga emas diberi tumpuan, kini tiba masanya kumpulan kanak-kanak yang mempunyai komorbid pula dilindungi sepenuhnya daripada kesan teruk jangkitan Covid-19, kata ahli virologi.

Dr Amir Yunus dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, langkah kerajaan mengesyorkan dos ketiga vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun perlu diterima baik semua pihak, termasuk ibu bapa.

“Walaupun kita berada di fasa peralihan endemik. Jangkitan Covid-19 masih berlaku.

“Keputusan memberikan dos ketiga kepada kumpulan sasaran ini wajar kerana majoriti populasi dewasa sudah dilindungi dan kini tiba masanya kanak-kanak yang ada komorbid pula dilindungi sebaiknya,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan penerimaan dos ketiga untuk kumpulan kanak-kanak dan remaja itu sekadar “suam-suam kuku”, berdasarkan sambutan terhadap dos pertama dan kedua kumpulan sama sebelum ini.

“Saya jangkakan sambutan mungkin suam-suam kuku kerana masih ada stigma masyarakat yang menyatakan tidak penting untuk ambil dos ketiga buat anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan genom virus Covid-19 yang bermutasi ketika ini tidak terlalu “ganas” berbanding ketika jangkitan dari haiwan ke manusia satu ketika dulu.

“Nak kata virus Covid-19 masih ancaman besar, tidak…kerana virus ini sudah ada dan cepat bermutasi.

“Berdasarkan data yang kita ada, jangkitan virus respiratori hanya teruk ketika transisi dari binatang ke manusia dan bila sudah mula penyebaran kepada manusia, kita sudah tak anggap dia teruk daripada mula-mula serangan dahulu.”

Tambahan pula, katanya, majoriti penduduk dunia sudah dilindungi dengan vaksin Covid-19.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan mencadangkan dos ketiga vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak dan remaja yang mengalami mengalami imunokompromi (sistem imun) sederhana atau teruk di negara ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli virologi yang menyokong langkah kerajaan itu berkata, dengan kelonggaran SOP, penurunan imuniti dalam kalangan orang dewasa dan varian lebih mudah tersebar, akan menjadikan semua kelompok umur, termasuk kanak-kanak masih berisiko tinggi.

“Sejak dua minggu lalu, kes dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 10% kepada 12% kepada 14% minggu ini. Lima kluster pendidikan juga dikesan di pelbagai negeri dengan hampir 200 kes.

“Malah, di seluruh dunia, banyak negara kini mula melihat gelombang baharu. Jadi, kita sentiasa boleh membuat persediaan sebaik mungkin untuk mengelakkan peningkatan kes di negara kita,” kata Dr Kumitaa Theva Das dari USM.

Katanya, kanak-kanak yang disyorkan mengambil dos ketiga termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan kanser, menerima pemindahan organ atau menggunakan ubat untuk mengurangkan sistem imun.

“Secara ringkas, kanak-kanak atau remaja ini mempunyai sistem imun lemah, jadi tindak balas mereka terhadap vaksinasi Covid tidak sekuat mereka yang mempunyai sistem imun biasa,” katanya. – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button