Nasional

Kerajaan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai lusa

KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan  mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas malam ini berkata, perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi:

“Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

“Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

“Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

“Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

“Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

“Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

“Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

“Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa.

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa.

“Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.” – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button