fbpx
Uncategorized

Covid-19: Kerajaan digesa isytihar perintah berkurung

PERGERAKAN Pemuda UMNO menggesa kerajaan untuk segera mengisytiharkan perintah berkurung bagi mengekang dan menghentikan segera penularan virus corona Covid-19 di kalangan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata,kenaikan mendadak jumlah kes sebanyak 190 orang atau hampir 200% kes baharu mangsa yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam adalah berita yang amat membimbangkan.

“Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan arahan berkurung ini juga mengambil iktibar pengalaman negara-negara luar contohnya Itali, China dan Denmark agar kita lebih proaktif menangani wabak ini dan mengelakkan keadaan negara lebih parah,” kata Asyraf Wajdi.

Menurutnya, kerajaan perlu segera mengaktifkan Majlis Keselamatan Khas yang melibatkan kementerian-kementerian di bawah kluster keselamatan untuk melaksanakan beberapa langkah.

“Antaranya mengarahkan semua masjid, gereja dan rumah ibadat lain untuk melaksanakan proses nyahkuman mandatori bagi menghadkan lagi pergerakan rakyat untuk berkumpul dan beribadat sehingga proses nyahkuman premis berkenaan lengkap.

“Mengeluarkan perintah menghalang sebarang perhimpunan, perjumpaan, perkumpulan mahupun mesyuarat yang melibatkan orang ramai melebihi 5 orang sama ada di kawasan terbuka mahupun tertutup bagi tempoh masa tertentu,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau turut meminta kerajaan agar mempertimbangkan cadangan untuk menghad pergerakan rakyat dari daerah dan negeri yang mempunyai rekod jangkitan yang tinggi untuk keluar ke negeri atau daerah lain bagi tujuan membendung jangkitan menular.

Kerajaan juga perlu memberikan jaminan pekerjaan kepada semua pekerja baik tempatan atau asing sekiranya mereka diarahkan untuk dikuarantin serta diberikan bantuan kewangan dan barangan keperluan asas sepanjang tempoh kuarantin berjalan.

Pihak kerajaan disaran menyampaikan cadangan kepada pihak berkuasa agama dan pengurusan rumah ibadat untuk memberikan ruang untuk rakyat menjalankan ibadat di rumah masing-masing sehingga satu tempoh yang ditentukan oleh pihak berkuasa kesihatan.

“Pemuda juga menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia menyemai sikap ‘self-awarenes’ terhadap pencegahan penularan pendemik ini selain terus berdoa dan menunaikan solat hajat agar Allah melindungi rakyat dan negara daripada malapetaka yang membimbangkan ini!” kata Asyraf Wajdi.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button