Uncategorized

Norma baru ini terima pencuri jika ia Melayu – Dr. Mahathir

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa norma baru disebabkan Covid-19 turut menerima pencuri sebagai pemimpin jika ia seorang Melayu.

Ahli Parlimen Langkawi itu yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Februari lalu itu berkata, terdapat pertukaran nilai yang dicipta dan diperkenal oleh orang tertentu demi kepentingan diri mereka.

Antaranya penilaian masyarakat terhadap pencurian kini juga sudah berubah kerana jika pencuri menjadi pengetua kerana dia “boss” maka pencurian olehnya boleh diterima.

“Katanya “Bossku” akan memimpin Kerajaan Melayu Islam. Mengikut norma lama, pencuri tidak layak jadi pemimpin Kerajaan Melayu Islam. Kerajaan tidak Islam pun, tidak terima pencuri untuk memimpin.

“Itu norma lama. Tetapi kita sekarang terima norma baru. Norma baru ini terima pencuri jika ia Melayu. Okaylah jika Kerajaan Melayu Islam dipimpin oleh pencuri asalkan dia Melayu,’ kata Dr. Mahathir dalam artikel terbaharu yang disiarkan di blognya Che Det hari ini.

Dr. Mahathir yang dua kali menjadi perdana menteri Malaysia itu turut mendakwa, melalui norma baru orang bukan Melayu dilihat tetap salah walaupun mereka baik. Namun orang bukan Melayu itu akan diterima jika mereka menghulurkan duit.

Melalui norma baru juga menurut Dr. Mahathir, orang Melayu yang baik menjadi tidak baik jika mereka tidak ‘menghulur’.

“Orang bukan Melayu tetap salah walaupun mereka baik, tidak mencuri, bersopan santun.
Tetapi mengikut norma baru; mereka, orang bukan Melayu ini boleh diterima jika mereka hulur wang kepada kita.

“Bukan Melayu yang baik ini tidak sama dengan Melayu yang tidak baik. Tetapi Melayu yang baik pun tidak baik jika tidak menghulur.

“Norma baru berbeza dari norma lama, kerana yang baik, tidak baik dan yang tidak baik, baik,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir berkata, dengan menerap norma-norma baru itu kegagalan akan dianggap sebagai kejayaan. Secari sinis beliau berkata, masyarakat norma baru bertuah.

“Sebab itu kita terpaksa gantikan Kerajaan pilihan rakyat dengan Kerajaan pintu belakang.

“Sogokan juga diberi nama baru. Ia dikenali sebagai BR1M. Sebagai BR1M ia halal,” kata Dr. Mahathir yang turut memperkenalkan Bantuan Sara Hidup ketika Pakatan Harapan mentadbir negara selama 22 bulan.

Menurutnya, yang menjadi masalah ialah mereka yang masih anggap sogokan dengan norma baru ini masih sogokan akan ketinggalan norma.

“Tukarlah. Terimalah norma baru. Jika tidak kamu akan tersungkur.Sesungguhnya “Bossku” bijak. Dengan penerimaan norma baru, yang kalah menang dan yang menang kalah. Syabas,” kata Mahathir.

Artikel tersebut turut dikongsi di Twitter rasmi Dr. Mahathir namun semakan di Facebook rasmi bekas perdana menteri itu sehingga pukul 10.00 tadi mendapati ia belum dikongsi di media sosial tersebut.-SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button