Nasional

84% kes sulh selesai secara damai di Mahakah Syariah seluruh negara sepanjang 2018-2022

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) bersinergi menganjurkan program OutReach Sulh (OR Sulh) kali ke-4 yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd. Na’im Mokhtar,

Program yang bertemakan “Kemuliaan Syariah Membina Keluarga Madani” ini bermatlamat untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada masyarakat berhubung pelaksanaan Sulh yang ditawarkan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Ia juga merupakan kesinambungan agenda Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mewujudkan gagasan Pelan Transformasi al-Falah iaitu bagi mencapai terasnya untuk memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam serta penghayatan nilai masyarakat Madani .

Menerusi kaedah sulh ini diharapkan dapat memperkasakan kaum lelaki terutamanya golongan suami bagi menzahirkan ciri-ciri kepimpinan, antaranya dengan mengambil jalan perdamaian/sulh apabila menghadapi perbedaan pandangan dalam berumahtangga.

Di Mahkamah Syariah, pihak-pihak yang memfailkan tuntutan selepas perceraian dikehendaki untuk menjalani proses sulh bagi menyelesaikan pertikaian secara baik sepertimana yang termaktub menurut seksyen 99, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585].

Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat yang enggan menghadiri prosiding tersebut atas faktor keegoan dan kejahilan.

Sulh yang dilaksanakan semenjak 2002 terbukti merupakan salah satu satu alternatif penyelesaian kes secara efektif selain kaedah perbicaraan.

Keberkesanan perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah membuktikan bahawa kaedah ini mampu  menyelesaikan kes dalam tempoh yang lebih singkat, mengurangkan perseteruan dan mengelakkan penangguhan kes di Mahkamah Syariah.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh JKSM bagi tahun 2018 hingga 2022, terdapat 84% atau bersamaan 43,115 daripada 51,062 kes yang didaftarkan menerusi kaedah sulh berjaya diselesaikan tanpa melalui prosiding perbicaraan.

Antara kes yang  dikehendaki menjalani prosiding sulh termasuklah nafkah isteri, nafkah anak, idah, mut’ah, harta sepencarian, hadhanah, gantirugi pertunangan, gantirugi perkahwinan dan tuntutan kembali taat.

Oleh kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengetahui fungsi Sulh, maka JKSM mengambil inisiatif dengan menganjurkan pelbagai program bertujuan untuk memperkenalkan Sulh kepada masyarakat seperti Outreach Sulh, Program Komuniti Sulh, Muhakat Sulh dan pelbagai lagi program yang memberi impak positif kepada rakyat.

Selain Sulh, pelaksanaan majlis tahkim dan rundingcara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) juga merupakan antara kaedah penyelesaian alternatif yang diperkenalkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button