Nasional

SHH Group buat pelaburan RM80 juta di Kuala Selangor

Kilang pemprosesan minyak sawit  dibina semula

TIDAK lagi umpama hidup segan, mati tak mahu. Kilang pemprosesan minyak sawit yang terletak di Jalan Kampung Kuantan, Kuala Selangor mendapat ‘nyawa baharu’ apabila Shh Group melalui anak syarikatnya, Sin Huat Hin Palm Oil Mill (Kuala Selangor) Sdn. Bhd., (Sin Huat Hin) telah melabur kira-kira RM80 juta untuk membina semula kilang tersebut.

SUARA MERDEKA difahamkan, kilang berkenaan telah diambil alih pada Jun 2018 daripada syarikat Kampong Kuantan Palm Oil Mill Bhd.

Kilang ini merupakan sebuah kilang pengeluaran minyak sawit daripada buah tandan sawit (BTS) pertama bagi SHH Group. Selain daripada itu, SHH Group turut memiliki tiga lagi kilang memproses minyak sawit dari isi sawit.

Satu daripada kilang berkenaan terletak di Lumut, Perak manakala dua lagi kilang, masing-masing di Kapar dan di Batu 14, Kapar, Selangor, turut dijadikan bangunan pejabat, ibu pejabat kumpulan SHH.

Menurut Pengarahnya, Gan Wey Kiat, selepas pengambilalihan dilakukan, proses penambahbaikan dan pengubahsuaian struktur kilang terpaksa dilakukan.

Ini, katanya, bagi membolehkan ia meningkatkan kapasiti pengeluaran seiring dengan penekanan teknologi hijau yang dipraktikkan di kilang berkenaan.

“Kilang ini dapat menghasilkan sehingga 45 tan metrik minyak sawit mentah dalam tempoh masa satu jam dan kami menjangkakan kapasiti itu akan bertambah.

“Selepas semua sistem pemprosesan termasuk tangki pemanas dengan kapasiti lebih besar, siap dipasang sepenuhnya, kita mampu mencapai kapasiti pengeluaran 90 tan metrik sejam minyak sawit mentah menjelang akhir tahun ini,” katanya pada masjlis perasmian kilang tersebut, baru-baru ini.

Wey Kiat berkata, antara penambahbaikan dan pembaharuan yang terdapat di kilang yang terletak dalam kawasan seluas 20 hektar itu ialah penggunaan sistem air hujan.

Ini bagi menambah kapasiti air bersih yang akan digunakan untuk proses memasak BTS dengan menggunakan kaedah stim.

Air hujan yang dituai daripada takungan berkenaan di bahagian bumbung akan disalurkan ke dalam kolam tadahan yang dibina di kawasan kilang sebelum disedut dan disalurkan ke tangka air, ujar beliau.

Kaedah ini digunakan bagi menampung penggunaan air daripada sistem perpaipan memandangkan pemprosesan minyak sawit mentah menggunakan banyak air dan sebagai contoh, kata Wey Kiat, satu tan air perlu digunakan untuk memproses satu tan buah sawit segar.

Selain itu, Wey Kiat menerangkan, kilang berkenaan turut menggunakan sistem ‘zero waste’ yang mana hampas tandan kelapa sawit yang telah diceraikan daripada biji sawit tidak dibuang sebaliknya digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan tangka stim.

Tempurung sawit pula dihantar ke tiga kilang milik SHH Group untuk tujuan pemprosesan bagi penghasilan minyak sawit daripada isi tempurung sawit.

Seperkara lagi, Wey Kiat berkata, minyak sawit yang dihasilkan memenuhi standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Untuk makluman, MSPO merupakan pensijilan yang mengesahkan bahawa produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah yang mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar, menggunakan kaedah selamat dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik.

Untuk rekod, SHH Group telah terlibat dalam industri berkaitan minyak sawit berskala sederhana sejak tahun 1999. – SM

(Visited 1,000 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button