NasionalNegeri

Pemimpin jangan rakus, angkuh, gelojoh-PM

GOLONGAN pemimpin diingatkan supaya tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan seperti yang berlaku ketika zaman penjajahan British dulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai generasi penerus kepemimpinan negara, pemimpin harus berusaha sedaya upaya untuk mengangkat martabat negara, membangunkan ekonomi, meneruskan mutu pendidikan dan kesihatan, membangunkan sektor pelancongan dan industri supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.

“Inilah komitmen kita sementara kita berasa terharu dan tersentuh hati nurani kita kerana kita adalah generasi yang kenang jasa.

“Kita tahu, kita tak akan ada di sini mengecapi nikmat merdeka kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita terdahulu yang sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari kemerdekaan dan mencapai kemerdekaan untuk negara kita.

“Ini juga peringatan kepada pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif serta baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) dan tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan, dan kegelojohan (seperti) pegawai-pegawai penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka, malam tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pada majlis itu, keluarga bekas pemimpin kemerdekaan turut hadir, antaranya cucu kepada Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Putra; anak kepada Tun Abdul Ghafar Baba, Datin Seri Zainun; cucu kepada Tun VT Sambanthan, Kunjari Sambanthan serta cucu kepada Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

Anwar berkata, kemerdekaan negara kerana pernah diiktiraf sebagai gagah, merdeka dan berdaulat dengan sistem pemerintahan ulung pada ketika itu, pernah rebah dijajah manakala kekayaan dipunggah oleh penguasa dan dibawa ke Portugal, Belanda dan kemudian ke Inggeris (British).

“Rakyat dimiskinkan papa kedana, gedung-gedung besar yang kita lihat ini, legasi sejarah, tidak lebih daripada gedung-gedung untuk diduduki oleh pemimpin ketika itu..pegawai-pegawai penjajah. Itu ertinya penjajahan.

“Lebih daripada itu, rupa mereka, jiwa mereka dijajah, tidak ada keyakinan kepada jati diri bangsa, hancur lebur semangat rakyat, tidak mungkin berjaya, moden dan membangun tanpa tunduk kepada kekuatan penjajah termasuk Inggeris… Itu ertinya penjajahan,” katanya.

Katanya lagi, kita terpukau dengan kekuasaan mereka menjadi hamba di negara sendiri.

“Dan Alhamdulillah, berkat pejuang-pejuang bangsa, sebelum itu Datuk Onn Jaafar dan sebelum itu lagi pahlawan bangsa, kemudiannya di bawah Tunku Abdul Rahman yang ketika itu Yang Dipertua UMNO dan Pengerusi PERIKATAN bersama rakan MCA dan MIC serta rakyat umumnya, dapat menebus maruah bangsa kita,” ujar beliau.

Justeru Perdana Menteri memuji usaha kerajaan Melaka pimpinan Ab Rauf yang berjaya mengimbau sejarah kegemilangan pengisytiharan tarikh kemerdekaan yang diadakan malam ini.

“Malam ini atas ikhtiar Ketua Menteri, kita berhimpun bagi mengimbau satu detik sejarah yang bemakna di Banda Hilir. Mengenang semangat perjuangan, pengorbanan dan detik penting sejarah kemerdekaan tanah air.

“Mengenag jasa dan perjuangan rakyat Melaka dan Tanah Melayu pada ketika itu dan menebus kembali hak pusaka, tanah yang dijajah, maka diisytiharkan 31 Ogos 1957 itu di kota bersejarah Kota Melaka yang pernah dirobohkan, membangunkan semula dan sekarang di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ab Rauf, Ketua Menteri (Melaka akan) gagah perkasa semula, Insya-Allah,” katanya. – SM

BACA PRN Johor: Hanya untuk penuhi nafsu pemimpin UMNO

(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button