Nasional

Saya tak pandai main golf – Adham

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menafikan dakwaan beliau menyertai program bermain golf di Lotus Desaru Beach Resort, Johor, semalam.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah bertujuan memburukkan imejnya di tengah-tengah wabak Covid-19 berada pada tahap membimbangkan.

Malah tegasnya, pada hari sama, beliau mengendalikan tiga mesyuarat utama di Putrajaya.

Penegasan itu sekali gus menepis cakap-cakap beliau bermain sukan berkenaan walhal hakikatnya Adham tidak ‘pandai bermain golf’.

“Apa pula saya main golf? Ini fitnah. Tidak ada langsung penglibatan saya bermain golf kerana saya berada di Putrajaya pada waktu itu untuk mengendalikan taklimat berkenaan Covid-19. Selepas itu saya menghadiri mesyuarat bahagian latihan Kementerian Kesihatan bagi melatih petugas-petugas KKM dan juga latihan kepakaran.

Related Articles

“Pukul tiga petang pula saya mempengerusikan majlis penasihat kesihatan mental kerana pada waktu ini ramai yang terkesan malah pagi tadi pula saya membuat persiapan berkenaan Covid-19,” katanya dipetik Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keadaan sebenar berkaitan salah satu program yang disertai di pusat peranginan terkenal di negeri itu.

Isu berkenaan tular dalam media sosial apabila seorang pengguna Twitter, @adammukhrizmy menerusi ciapannya memaparkan kain pemidang yang menunjukkan program di pusat peranginan berkenaan. Kiriman itu sekali gus mendapatkan satu ribu jumlah ciapan sejak semalam.

Tidak menolak dakwaan bahawa beliau dijadualkan hadir di tempat sama pada 4 Oktober esok, bagaimanapun, beliau dijadualkan hanya menyertai acara melibatkan program Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku atau COMBI.

COMBI diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2001 sebagai salah satu strategi menangani masalah Denggi di Malaysia.

“Kalau ada nama saya hari esok, saya kena bertemu penggerak dalam komuniti COMBI sebagai barisan hadapan di daerah masing-masing,” katanya.

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button