Nasional

Raja, Raja Perempuan Perlis hadir sambutan Aidilfitri Polis Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid malam semalam berkenan berangkat menerima undangan menghadiri ‘Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Perlis’ yang diadakan di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Polis Perlis DCP Dato’ Surina Saad dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Baderulhisham Baharudin serta para pegawai kanan PDRM Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis dimulakan dengan Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan menaiki buggy untuk melawat gerai-gerai yang dihias menarik serta menyajikan pelbagai juadah yang disediakan mengikut jabatan dalam PDRM Perlis disusuli sesi bergambar kenangan, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Dato’ Ketua Polis Negeri serta majlis santapan diiringi pelbagai persembahan kebudayaan dan sketsa menarik oleh warga kerja PDRM Perlis. Ia disusuli dengan penyampaian duit raya oleh Dato Ketua Polis serta penyampaian hadiah-hadiah untuk gerai dan juga persembahan terbaik pada program tersebut.

Kemuncak majlis ialah sesi memotong kek Hari Ulangtahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Yang Ke-79 disambut pada 17 Mei baru-baru ini yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin dan juga Tuanku Tengku Fauziah.

Ketua Polis Negara IG Tan Sri Dato’ Seri Panglima Acryl Sani Haji Abdullah Sani dan Tiimbalan Ketua Polis Negara DIG Datuk Razarudin Husain serta bekas-bekas Ketua Polis Negeri Perlis dan juga barisan pengurusan tertinggi PDRM Perlis masa kini mempersembahkan ucapan tahniah dan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun kepada Tuanku Raja melalui siaran digital dalam majlis tersebut.

Tuanku Raja Perempuan dalam titah baginda kepada sekalian yang hadir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh keluarga PDRM. Semoga Hari Raya pada kali ini membawa seribu satu kenangan dan kebahagiaan buat semua.

Baginda dan Tuanku Raja juga sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM di atas jasa mengawal keselamatan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu. Sesungguhnya jasa baik serta pengorbanan warga PDRM dan keluarga amat baginda berdua hargai.

Tuanku Tengku Fauziah turut mendoakan agar warga PDRM terus menerus dikurniakan kesihatan dalam hari-hari mendatang. Ambillah peluang pada majlis tersebut untuk mengenali dan memaafi sesama sendiri agar warga PDRM Perlis dapat saling bekerjasama sebagai satu pasukan yang utuh dalam melaksanakan tugas dan amanah diberikan.

(Visited 475 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button