Nasional

KPDNHEP bantu penduduk pedalaman elak bayar harga lebih tinggi

Program Pengedaran Barangan Keperluan Asas, LPG dan Community Drumming

KERAJAAN mendapati penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi mendapatkan barangan keperluan berbanding penduduk di kawasan bandar dan pekan.

Ini disebabkan kos pengangkutan yang tinggi kerana jarak yang jauh ke kawasan terpencil dan melalui jalan yang sukar seperti laluan balak, sungai, jeram dan lain-lain.

Selain itu, faktor kemudahan infrastruktur perhubungan yang kurang baik serta bentuk muka bumi berbagai seperti bukit, gunung dan pulau turut menyumbang kepada kadar kos pengangkutan yang amat tinggi.

Sehubungan itu, atas dasar keprihatinan Kerajaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memulakan perlaksanaan Program Pengedaran Barangan Keperluan Asas, LPG dan Community Drumming untuk tahun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program yang dilaksanakan sejak tahun 2009 telah berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan asas iaitu beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel pada harga yang dikawal.

“Perkhidmatan pengedaran barang keperluan asas dilaksanakan oleh transporter yang dilantik. Transporter ini membeli bekalan barang keperluan asas dari pembekal di bandar, menghantar dan menjual bekalan kepada Point of Sales (POS) di kawasan pengedaran. POS ini seterusnya akan menjual barang keperluan asas kepada penduduk sekitar pada harga yang dikawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi tahun 2021, Kerajaan telah meluluskan program tersebut dengan peruntukan berjumlah RM200 juta iaitu pertambahan sebanyak RM50 juta atau kenaikan sebanyak 33% berbanding RM150 juta pada tahun 2020.

Menurut kenyataan itu lagi, pertambahan peruntukan ini membolehkan Kementerian memperluas pelaksanaan ke kawasan-kawasan baharu yang memerlukan.

Dalam hal ini, Kerajaan telah mengenal pasti 137 kawasan pengedaran baharu untuk tahun 2021 termasuk di Terengganu dan Pahang terutamanya ke pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Memetik kenyataan yang sama, beberapa kawasan baharu di Sabah dan Sarawak juga telah dikenalpasti bagi pelaksanaan program ini.

“Dalam pada itu, pelantikan syarikat bagi tahun 2021 akan dilaksanakan menggunakan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“SOP tersebut menggariskan tatacara perolehan yang mengambil prinsip tender terbuka yang mana iklan tawaran akan dikeluarkan bagi mempelawa syarikatsyarikat yang berkelayakan dan berminat untuk memohon sebagai transporter.

“Proses lantikan dijangka selesai pada April 2021. Bagi mengelakkan bekalan dari terputus sementara menunggu pelantikan syarikat transporters baharu, Kementerian bersetuju untuk melanjutkan kontrak syarikat transporters sedia ada sehingga 30 April 2021,” ujarnya.

Kementerian telah mengeluarkan arahan kepada 151 syarikat yang dilanjutkan kontrak untuk melaksanakan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari 2021, katanya.

Kementerian memberi jaminan bekalan barangan keperluan akan dapat terus dibekalkan kepada penduduk dengan perlanjutan kontrak syarikat sedia ada ini.

“Kementerian berharap program ini dapat meringankan beban penduduk-penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak mengharungi waktu yang sukar menghadapi wabak pandemik Covid-19,” kata KPDNHEP. – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button