NasionalNegeri

Wujudkan lebih banyak jaringan kerjasama Iran-Malaysia termasuk Perlis

Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi berharap agar dapat terus mewujudkan lebih banyak jalinan kerjasama antara Malaysia dan Iran termasuklah di Perlis khususnya dalam sektor pendidikan, perniagaan, teknologi, perikanan, pertanian dan lain-lain lagi.

Ali Asghar turut memuji dasar perbincangan terbuka yang diamalkan di Perlis dan akan meneroka peluang-peluang kerjasama dalam bidang dron dan juga teknologi nano bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima hadiah dari Ali Asghar.

Demikian dimaklumkan beliau kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Al Hussain Kuala Perlis atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis baru-baru ini.

Beliau yang diiringi oleh Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Penyelidikan Iran di Malaysia, Dr. Mohsen Saraf Bidaba dan Pegawai Kedutaan, Dr. Mehdi Soltanzadeh berada di Perlis selama dua hari pada 14 dan 15 Ogos 2023.

Ali Asghar yang mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra tertarik melihat keunikan dalaman masjid Terapung di Kuala Perlis.

Lawatan kerja tersebut dipenuhi dengan pelbagai pengisian antaranya Taklimat Pembangunan Negeri dan Peluang Pelaburan di Negeri Perlis oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan juga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), lawatan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, kunjungan hormat ke atas Yang Amat Berhormat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) serta perbincangan dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Beliau juga telah menyempurnakan Syarahan Umum Antarabangsa di Auditorium Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra dan meluangkan masa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP setelah program syarahan itu selesai.

Terdahulu daripada itu juga beliau telah melawat Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS), UniMAP Kampus Kangar.

Ali Asghar dalam lawatan itu menyatakan ucapan menjunjung kasih atas layanan yang amat mesra daripada Pemangku Raja Perlis serta penghargaan kepada Kerajaan Negeri, MAIPs, UniMAP serta lain-lain lagi sepanjang dua hari yang penuh bermanfaat bagi lebih mengenali negeri Perlis itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah berharap kerjasama antara Iran dan UniMAP dalam bidang dron dan teknologi nano akan menjadi realiti kali ini setelah inisiatif awal sebelum ini telah terbantut akibat Covid-19 melanda dunia. – SM

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button