Nasionalpilihan

Pembayaran Fasa 3 dan Rayuan BKM dikreditkan bermula 20 September 2022 – PM

Pembayaran Fasa 3 dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September 2022 secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima.

“Untuk BKM Fasa 3, penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM bakal menerima sehingga RM900.

“Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan Kerajaan pada Jun yang lepas,” katanya.

Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

“Dalam masa sama, masih terdapat bayaran fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022,” kata Perdana Menteri.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Ujar kerajaan, kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global perlu diutamakan.

“Sehubungan itu, Kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya.

 

 

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button