Nasional

Tidak kemas kini data PADU mungkin tidak dapat bantuan kerajaan

MANA-MANA rakyat negara ini yang tidak mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berkemungkinan akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, walaupun pendaftaran Padu masih belum diwajibkan, namun ia digalakkan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan mempunyai alternatif lain yang boleh digunakan melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam.
“Ia termasuk melalui kerajaan negeri dan tempatan, serta agensi syarikat milik kerajaan dan syarikat pelaburan milik kerajaan yang terdapat dalam Padu bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah terdapat alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar di dalam Padu atas pelbagai sebab.
Hanifah memberitahu, sehingga 12 Mac lalu, Padu telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.
“Ini termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia,” katanya lagi.
Isnin lalu, Menteri Ekonomi berkata, sebanyak 4,752 kawasan di Malaysia belum diliputi pendaftaran Padu dan berisiko keciciran. – SM
(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button