MahkamahNasional

5 didakwa ahli ‘Kumpulan Viki Naidu’ boleh diwakili peguam

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan lima lelaki yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Kumpulan Viki Naidu” boleh diwakili peguam pilihan mereka.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Vazeer Alam Mydin Meera berkata, hak untuk mendapatkan peguam adalah hak asasi walaupun tidak mutlak dan ia tertakluk kepada kesanggupan seseorang peguam itu hadir bagi pihak anak guamnya.

Vazeer berkata, kemungkinan untuk dipanggil sebagai saksi pada masa akan datang tidak boleh menghalang kehadiran peguam Charan Singh.

“Setakat ini, tiada konflik kepentingan atau menyebabkan timbulnya perkara yang memalukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membenarkan rayuan V Vigneswaran Naidu, D Ganesan, P Velmurugan, D Enthiran dan K Ganesen.


Vazeer yang turut disertai hakim Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin berkata, berdasarkan nota prosiding dan penghakiman Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk memanggil Charan sebagai saksinya.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi pada Ogos juga adalah pramatang.

Vazeer berkata, peguam lain boleh mengambil alih walaupun Charan dipanggil sebagai saksi ketika perbicaraan.

“Berdasarkan keterangan yang diberikan, mahkamah kemudiannya boleh memutuskan sama ada Charan boleh terus mewakili lelaki itu,” katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo menggugurkan Charan atas alasan peguam itu bertanya soalan yang mencadangkan dirinya berpotensi untuk menjadi saksi.

Su berkata, Charan berdepan konflik kepentingan dan melanggar Kaedah-Kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978. Peraturan itu menyatakan seorang peguam tidak boleh mewakili kes yang dia menjadi saksi.

Kelima-lima mereka yang diwakili Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir berdepan tuduhan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Charan yang turut hadir berkata, perbicaraan akan bersambung pada 25 April dan enam saksi pendakwaan akan dipanggil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar. – SM

 

(Visited 149 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button