Nasional

Jangan aniaya petugas barisan hadapan – Dr. Noor Hisham

ORANG awam yang hadir untuk mendapatkan rawatan di hospital diminta untuk tidak menipu petugas barisan hadapan terutama staf perubatan dengan menipu status kesihatan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan tidak bertanggungjawab mereka ibarat menganiaya petugas kesihatan dengan mendedahkan mereka terhadap virus Covid-19.

Ini kerana petugas kesihatan serta keluarga mereka juga perlu dilindungi.

“Jangan tipu frontliners. Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan.
Jangan anaiya frontliners,” nasihat Dr. Noor Hisham di media sosial awal pagi ini.

Beliau berkongsi status seorang petugas kesihatan, Nur Mariani Zainal yang dijangkit virus tersebut kerana seorang pesakit tidak bersikap jujur menyembunyikan fakta dia pernah demam dan batuk selama seminggu.


Pesakit tersebut telah hadir ke hospital untuk menjalani pemeriksaan CT scan seperti yang dijadualkan.

Menurut Nur Mariani, pesakit tersebut disaring sebelum dibenarkan masuk ke dalam hospital dengan suhu badannya disahkan normal dan dia mengaku sihat.

“Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan dengan memberikan penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya.

“Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit Covid-19.

“Bila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temu janji CT. Allahu,” kata Nur Mariani.

Perbuatan pesakit tersebut yang menyembunyikan fakta bahawa dia bergejala telah menyusahkan banyak pihak terutamanya petugas kesihatan.

“Pada mulanya saya dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, sebab kedua-duanya memakai surgical masks bagi pesakit berisiko rendah. Dan pesakit tidak batuk di hadapan saya.

“Cuma jarak tak dapat dielakkan kerana terpaksa menyediakan saluran IV untuknya sebelum CT scan.

“Masa kontak tidak lama, lebih kurang 5 hingga 15 minit. Saya mengamalkan hand hygiene mengikut SOP sebab saya memang paranoid!” jelas Nur Mariani.

Menurutnya, dia tidak menggunakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) penuh ketika merawat pesakit berkenaan kerana ia dikhaskan untuk petugas yang merawat pesakit berisiko tinggi disebabkan stok PPE yang terhad.

Walaupun tidak bergejala, Dr. Mariani membuat keputusan untuk melakukan kuarantin diri dan menjalani ujian Covid-19 kerana berasa tidak sedap hati.

“Namun sempat bekerja selama dua hari di jabatan, sebelum kuarantin. Keputusan swab mendapati saya positif .

“Saya menangis semasa dapat tahu. Sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami. Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti. Kecewa terhadap sikap pesakit saya.

“Mohon jangan tipu kami sekiranya anda bergejala. Tindakan anda melibatkan pesakit-pesakit lain, petugas kesihatan serta keluara mereka. Kami manusia juga,” rayu Nur Mariani.-SM

 

 

(Visited 187 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button