fbpx
Politik

40 ahli PKR Jelebu keluar parti, sokong kepimpinan Muhyiddin

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jelebu hampir lumpuh selepas seramai 40 ahli termasuk jawatankuasa cabang berkenaan isytihar keluar parti serta-merta hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jelebu, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus berkata, tindakan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Faizal Fadli mendakwa, kumpulan yang keluar dari parti tersebut merangkumi dirinya, naib ketua, ahli jawatankuasa (AJK), naib ketua, setiausaha dan AJK AMK, naib ketua dan AJK wanita serta ahli.

“Perkara ini berlaku adalah disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan presiden mendamaikan dua kumpulan selepas pemilihan dan kemelut kepimpinan yang berpanjangan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut mengisytiharkan keluar parti ialah Ketua Srikandi Negeri Sembilan, Ismaliza Ismail selain Timbalan Ketua Cabang Jelebu, Tang Jay Soon yang telah keluar parti pada 15 Mei lepas.

Dalam pada itu, Mohd Faizal Fadli berkata, kumpulan itu turut menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan akan bergerak menerusi platform baharu iaitu Penggerak Komuniti Negara, sebuah badan bukan kerajaan.- BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button