Politik

Bersatu jangan cakap banyak, kalau berani bubarlah DUN Johor

TIMBALAN Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan Bersatu atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia di negeri itu supaya mencermin diri sendiri dahulu sebelum boleh `cakap banyak’ menguar-uarkan kepentingan mereka dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Malah, tegas Nur Jazlan, kalau pun ada cadangan Bersatu untuk menggantikan Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad dari UMNO, ia tidak memberi sebarang makna kerana parti itu tidak ada majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selain kerjasama yang rapuh dengan Pakatan Harapan (PH).

“Bersatu ni jangan cakap banyak. Lebih baik Tuanku bubar DUN. Dan keputusan itu akan jadi domino untuk kerajaan negeri lain tumbang dan akhirnya Kerajaan Pusat

“Sebenarnya dia orang harap Bersatu boleh diterima balik dengan syarat untuk gabung dengan UMNO. Tapi buat apa, pasal dia orang tak ada grassroot (akar umbi) pun.

“Kalau dia orang nak, kita (UMNO) boleh terima Tan Sri Muhyiddin seorang saja yg boleh sambung jadi Perdana Menteri. Yang lain masuk balik UMNO tanpa syarat.

“Kalau dia orang masih berkeras nak Bersatu masih wujud, kita lawan masa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum. UMNO nothing to lose. Dah jatuhkan PH pun,” kata Nur Jazlan kepada SUARA MERDEKA menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Isnin lalu, Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Kata Mohd Solihan, sebelas wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam DUN mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

Nur Jazlan berkata, kedudukan dan peranan Bersatu dalam kerajaan PN juga bukan isu kerana beberapa pemimpin UMNO sebelum ini pun sudah menjelaskan setakat hari ini tiada perjanjian rasmi dalam menubuhkan gabungan PN.

“Ya, macam Najib, Zahid dan Mat Hassan cakap. Mana ada agreement rasmi tubuh Perikatan Nasional ini, lainlah Muafakat Nasional ada piagamnya,” kata beliau.

Pada 25 April lalu, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menyertai PN kerana gabungan itu tidak berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

Kata Mohamad, hubungan UMNO dengan PN hanya berbentuk persefahaman bagi “menyelamatkan Malaysia” daripada kemelut politik dicetukan kelompok tertentu dalam PH.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga menegaskan, mana-mana parti yang di luar Muafakat Nasional – yang dibentuk bersama Pas dan BN tidak strategik untuk kelangsungan UMNO.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi parti UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, selepas dilantik semula ke jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, tumpuannya adalah untuk mengukuhkan Muafakat Nasional di negeri itu.

Beberapa insiden membabitkan pemimpin Bersatu juga mengundang kritikan daripada UMNO, termasuk kejadian membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali yang menghadiri majlis makan di maahad tahfiz exco Perak di Lenggong baru-baru ini. – SM

(Visited 606 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button