Nasional

16 juta vaksin diterima dalam tempoh 2 bulan, 150,000 suntikan sehari

MALAYSIA bakan menerima bekalan 16 juta dos vaksin dalam tempoh dua bulan ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata, dengan pertambahan bekalan vaksin kerajaan menyasarkan 150,000 suntikan sehari bulan ini dan angka tersebut akan terus meningkat.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok.

“Saya ingin tekankan, bahawa program vaksinasi COVID-19 ini sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan yang lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya membantu proses menjana semula ekonomi negara,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah pun melepasi 100 hari pelaksanaannya sejak bermula pada 24 Februari.

Sehingga kini, Malaysia telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin COVID-19

Jumlah tersebut menjadikan kadar vaksinasi dos pertama Malaysia antara tertinggi dalam kalangan negara di Asia Tenggara.

“Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai.

“Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua,” tambah Muhyiddin.

Ketika ini lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin.

Sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telahpun beroperasi.

Beberapa PPV mega juga telah diwujudkan dan jumlah tersebut akan terus ditambah dalam masa terdekat terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Penang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin.

Muhyiddin berkata, untuk mempercepatkan lagi pemberian vaksin kerajaan turut melibatkan pusat dan klinik perubatan wwasta dalam program vaksinasi kebangsaan.

Pada penghujung Jun 2021, sebanyak 1,000 Klinik Perubatan Swasta atau PPVGP disasarkan akan terlibat dalam PICK.

Bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam program vaksinasi kerajaan telah melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

Sehingga 3 Jun, 9 negeri telah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah, daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan dan daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar Perak.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di 8 rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.

Kerajaan juga telah membuka PPV khusus bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti di Malaysian Association for the Blind di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

Kementerian Wilayah Persekutuan juga telah memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat dan Pusat Transit Gelandangan.-SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button