HaiwanNasionalNegeri

11 ladang ternakan babi di Pulau Pinang dijangkiti wabak ASF

PENULARAN kes Demam Babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang semakin meruncing apabila empat ladang ternakan khinzir disahkan dijangkiti wabak itu menjadikan jumlah keseluruhan 11 ladang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, empat ladang yang dijangkiti ASF dikenalpasti di mana dua ladang beroperasi di Seberang Perai Tengah (SPT) dan dua lagi di Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurut beliau, sehingga kini lebih 4,000 ekor khinzir yang dijangkiti telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melihatkan tiga ladang.

“Sejak pengumuman dibuat pada Jumaat lepas, JPV meneruskan kerja-kerja pensampelan dan didapati sehingga kini terdapat 11 ladang yang dikesan positif ASF.

“Hari itu, hanya tujuh ladang namun ia bertambah empat lagi ladang. JPV akan meneruskan lawatan ke ladang-ladang ternakan ini untuk mengesan kes di samping menjalankan pelupusan bangkai khinzir,” ujarnya.

Beliau berkata, kini sudah selesai pengendalian pelupusan bangkai dari tiga ladang yang melibatkan lebih 4,000 ekor bangkai khinzir.

“Kita akan ke ladang seterusnya untuk kerja-kerja pelupusan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya lagi, pemilik ladang khinzir diminta supaya memberi Kerjasama kepada pihak JPV untuk pelaksanaan pelupusan bangkai-bangkai khinzir yang dijangkiti ASF.

“Saya mohon agar semua pemilik ladang memberi Kerjasama demi mencegah wabak tersebut daripada terus merebak ke lebih banyak ladang.

“Ini kerana ada penternak yang cuba menguruskan sendiri bangkai khinzir dengan cara mereka sendiri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Perbuatan ini amat merbahaya sebab virus sudah ada di kawasan ladang tersebut. Selain itu, bukan senang mahu membuat pelupusan jika ia melibatkan jumlah bangkai yang banyak.

“Bagi pihak kerajaan negeri pun, kita perlu menggerakkan dan mendapatkan tanah-tanah yang sesuai untuk tujuan pelupusan,” katanya. – BERITA LOKAL – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button