Nasional

TMM2020: Pelancong disambut meriah di KLIA

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini menyambut ketibaan pelancong sempena permulaan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Mohamaddin memberi penghormatan kepada 294 penumpang Etihad Airways yang tiba dari Abu Dhabi dengan memberi kalungan istimewa bertulis #VisitMalaysia2020 serta cenderahati, dan mereka juga disajikan dengan persembahan kebudayaan daripada Istana Budaya.

Mohamaddin berkata KLIA merupakan satu daripada 22 lokasi yang dipilih untuk sambutan ketibaan pelancong sempena VM2020 hari ini, selain di pintu masuk lain di seluruh negara.

Bercakap kepada media, Mohamaddin berkata kerjasama semua pihak termasuk di peringkat persekutuan dan negeri akan menjayakan misi nasional VM2020 dan sasaran 30 juta pelawat yang ditetapkan.

“Apabila semua pihak bekerjasama, kehadiran pelancong mungkin boleh meningkat melebihi jumlah yang disasarkan kerajaan. Ini akan mendorong kepada penambahan pendapatan negara daripada sasaran RM100 bilion yang ditetapkan kerajaan melalui VM2020,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan VM2020 sempena sambutan Ambang Tahun Baharu di Dataran Merdeka semalam mahu supaya VM2020 diterima sebagai satu misi nasional dengan setiap rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa.

Mohamaddin dalam pada itu berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat berhubung cadangan melanjutkan tempoh pelaksanaan pengecualian visa bagi pelancong China dan India.

Kerajaan melalui warta kerajaan bertarikh 26 Disember memberi pengecualian visa dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan bagi pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.

Menurut Mohamaddin, pelanjutan tempoh pelaksanaan akan memberi lonjakan dari segi kedatangan pelancong, khususnya untuk VM2020. – BERNAMA

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button