Nasional

TLDM terima kapal perang baharu

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima penyerahan kapal misi pesisir (LMS) terbaharunya iaitu KD Keris pada satu majlis di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China hari ini.

Ini merupakan kapal pertama daripada empat buah kesemuanya yang ditempah menerusi Program Transformasi Armada 15 ke 5 TLDM.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan memberitahu, penyerahan fizikal LMS ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir diketuai Setiausaha Bahagian Perolehan Mindef, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Menurut kenyataan tersebut, hadir sama pada majlis itu ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Syed Zahrul Putra Syed Abdullah mewakili TLDM.

“Penyerahan ini sebagai simbolik kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) menyerahkan kapal kepada kerajaan.

“KD Keris dibina pada 31 Julai 2018 seterusnya dilancarkan oleh isteri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu iaitu Normah Alwi pada 15 April lalu,” ujar kenyataan tersebut.

KD Keris telah berjaya melepasi beberapa siri ujian dan bakal ditauliahkan di lokasi sama Januari nanti yang akan disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Kontrak perolehan LMS ini telah dimeterai antara Mindef dengan BNSSB dua tahun lalu menerusi kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Ini merupakan perolehan kapal perang pertama TLDM dari China.

Kapal kedua, KD Sundang dijadual diserahkan pada April depan manakala dua kapal terakhir pada pertengahan tahun 2021.

(Visited 962 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button