JenayahNasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis rampas lagi 20 bubu naga bernilai RM1,600

TIDAK pernah serik, ada lagi nelayan yang masih degil apabila terus memasang bubu naga (bubu kambang) sekalipun tahu perbuatan ini diharamkan kerajaan.

Pada anggapan mereka, kalau tidak dikesan oleh pihak berkuasa maka pastinya akan mendapat hasil laut yang banyak dengan cara mudah.

Kalau gagal bermakna hanya bubu sahaja akan dirampas maka boleh mengulanginya lain kali.

20 set bubu naga dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis. GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS.

Bagaimanapun pihak berkuasa seperti Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis juga tidak pernah leka dalam membasmi penggunaan bubu naga ini.

Berikutan itu sebanyak 20 set bubu naga bernilai RM1,600 dirampas oleh Zon Maritim Kuala Perlis pada kedudukan iaitu kira-kira 0.8 batu nautika daripada barat daya Kuala Sanglang, Perlis sekitar pukul 7.30 malam tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu ini dikesan oleh bot peronda yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Benteng Laut di perairan negeri ini.

“Hasil tinjauan di kawasan perairan berkenaan kelihatan pancang kayu yang terkeluar dari permukaan laut,” katanya.

Beliau berkata,setelah diperiksa pancang kayu itu merupakan penanda bagi lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 337 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button