Rencana

Semangat Keluarga Malaysia berkibar di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York

Fantastik! Itu lah perkataan pertama yang paling sesuai digambarkan sewaktu Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selesai sesi ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York semalam. YAB Perdana Menteri gah sekali lagi memperkenalkan “Keluarga Malaysia” di mata dunia. Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sangat komited dalam mengurus, mengatasi dan membaik pulih negara akibat wabak dan turut mengajak semua penduduk dunia untuk bersama-sama sebagai satu keluarga dunia bagi menangani cabaran dalam ketaksamaan, ketidakstabilan politik dan pemerintahan global. Ia amat bertepatan dengan tema perhimpunan pada kali ini iaitu Building resilience through hope – to recover from COVID-19, rebuild sustainably, respond to the needs of the planet, respect the rights of people, and revitalise the United Nations.

Menyedari bahawa Covid-19 adalah cabaran baharu kepada masyarakat dunia, masih ada negara yang berpendapatan sederhana dan kurang maju tidak divaksin. Seharusnya Keluarga Malaysia perlu bersyukur kerana negara kita melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah berjaya mencapai 82.5 % populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh KKM. Malah lebih menggembirakan apabila pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau atau kawasan pelancongan turut dibenarkan beroperasi. Dalam sesi ucapan tersebut, fokus Perdana Menteri bukan sahaja untuk mengakhiri wabak ini, malah turut mengajak keluarga dunia bekerjasama dalam memperluas keupayaan kesihatan awam melalui peningkatan akses masyarakat kepada ilmu pengetahuan dan teknologi yang relevan. Sehubungan itu, Malaysia akan memainkan peranan dengan lebih menonjol melalui pendekatan yang lebih inter-disiplin dan turut melibatkan pemegang taruh yang lebih relevan.

Dalam menangani Covid-19, kerajaan Malaysia telah melaksanakan strategi yang jelas melalui tiga teras iaitu melalui penyampaian penjagaan kesihatan yang meluas, suntikan fiskal untuk membantu ekonomi dan melindungi rakyat. Jika diperhatikan, melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan swasta, Malaysia telah tercatat antara negara yang terpantas di dunia dengan kadar vaksinasi konsisten yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari. Tidak hanya memfokus kepada populasi dewasa, kerajaan turut mempercepatkan kadar vaksinasi bagi remaja apabila sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Integrasi telah dikenal pasti bagi menyediakan suntikan vaksin secara “walk-in” menerusi PICK Remaja. Pada tahun lalu, langkah dan strategi kerajaan Malaysia dalam menangani Covid-19 telah mendapat pujian oleh Pakar Komunikasi dan Penggiat Literasi Media, Santi Indra Astuti.

Dalam ucapan tersebut, YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan Malaysia telah berbelanja kira-kira USD 130 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi. Pelbagai bentuk bantuan telah dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bagi meringankan beban individu dan isi rumah akibat pandemik. Ia merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) fasa 1. Selain itu, moratorium bayaran balik pinjaman, diskaun bil elektrik, bayaran berjumlah RM300 ribu kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen Pembangkang  bagi program Bantuan Bakul Makanan serta Program Subsidi Upah telah diperkenalkan.   

Seiring dengan bantuan-bantuan kepada rakyat, Malaysia turut memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi keluar daripada pandemik melalui pendekatan 6R iaitu resolve, resilient, restart, recovery, revitalize dan reform. Pendekatan ini akan membina asas yang teguh ke arah negara yang maju, berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama.  Hal ini akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia bagi mengecapi hidup yang lebih harmoni, bersatu padu dan sentiasa bersama dalam meraikan kepelbagaian. Usaha kerajaan Malaysia dalam mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030 telah mendapat pujian di Malaysia Voluntary National Review 2021 yang lalu. Sementara itu, menerusi portal rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan bahagian terakhir dalam Pelan Pemulihan Negara yang akan menjadi landasan dan hala tuju untuk pembangunan lima tahun negara. Pastinya kita mengharapkan RMK12 bakal memberi keutamaan kepada aspek kebajikan yang melibatkan seluruh komuniti di Malaysia.

Tidak hanya berkisar mengenai Malaysia, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia komited dalam melestarikan rantau ASEAN sebagai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN). Membawa semangat Keluarga Malaysia yang prihatin, berkasih sayang, mengambil berat dan menghormati satu sama lain, YAB Perdana Menteri turut menzahirkan kebimbangan mengenai isu kemanusiaan yang melibatkan Myanmar dan pelarian Rohingya. Terkini, Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pelarian dari Myanmar merangkumi 86% populasi pelarian di negara ini yang mana 66% adalah etnik Rohingya. Pada April yang lalu, pemimpin-pemimpin negara ASEAN telah mengadakan sidang kemuncak peringkat tinggi untuk membincangkan krisis yang berlaku di Myanmar. Ia juga merupakan lawatan pertama oleh pemimpin Junta Myanmar, Min Aung Hlaing sejak rampasan kuasa pada Februari yang telah mengakibatkan lebih 700 kematian dan penahanan lebih dari 3,300 orang. Konsesus Lima Perkara telah dipersetujui pada sidang kemuncak itu. Antaranya penghentian segera keganasan di Myanmar, dialog konstruktif antara semua pihak, pelantikan Utusan Khas ASEAN untuk memudahkan dialog, penyediaan bantuan kemanusiaan dan juga lawatan Utusan Khas ke Myanmar. Sidang kemuncak itu walau bagaimanapun gagal menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi dan tahanan politik yang lain.

Sebagai Keluarga Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan, YAB Perdana Menteri turut mengecam dan mengutuk pencerobohan berulang oleh Israel kepada penduduk Palestin sewaktu krisis 11 hari pada Mei lalu. Beliau turut menggesa agar Israel mesti dipertanggungjawabkan atas segala kesalahan termasuk pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan. Perdana Menteri menggambarkan kekejaman atas rakyat Palestin adalah sama dengan apartheid. Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan dan serangan berterusan oleh Israel terhadap Palestin dan akan berterusan menyokong serta bersolidariti bersama rakyat Palestin. Perdana Menteri bersikap prihatin apabila turut mengajak keluarga dunia bersama-sama menyokong Afghanistan dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang terjejas akibat serangan pengganas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai bulan lalu. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang telah dipamerkan oleh YAB Perdana Menteri melalui nilai kedamaian, keadilan, kesejahteraan, saling membantu dan menjaga maruah setiap ahli keluarga.

Kesimpulannya, pandemik Covid-19 telah banyak memberi pengajaran kepada kita dan seluruh masyarakat dunia untuk sentiasa bersama-sama hidup secara aman dan sejahtera melalui hubungan kerjasama yang kukuh. “Tidak seorang pun yang selamat melainkan semua selamat”. Jika di Malaysia, nilai Keluarga Malaysia menjadi asas kebersamaan, diharapkan masyarakat dunia juga dapat mengambil kebaikan atas semangat dan nilai Keluarga Malaysia yang dipamerkan oleh YAB Perdana Menteri. Kita adalah multilateralisme dan perlu menganggap diri kita sebagai satu keluarga agar beroleh kemenangan dalam perjuangan menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa kini.

Oleh: Dato’ Sri Dr. Junaidy bin Abu Bakar dan Dr. Suharmili binti Rosle

Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri (DCCJPM)

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button