Belang BertempatRencana

Mencari vaksin politik…

KITA agak lega apabila vaksin wabak membunuh Covid-19 telah dihasilkan dan kini proses vaksinasi berjalan lancar di seluruh negara.

Mengikut perancangan akhir tahun ini, kira-kira 80 peratus rakyat negara ini divaksin dan akan membentuk kekebalan berkumpulan bagi melawan wabak pandemik itu.

Sekurang-kurangnya kita telah dapat melihat cahaya di hujung terowong dan mampu membuat perancangan untuk ke hadapan.

Bagaimanapun satu hal yang masih merungsingkan kita adalah politik tanah air yang terus bergolak sejak Barisan Nasional kalah pada pilihan raya yang lalu.

Setelah tumbangnya kerajaan Barisan yang ditunjangi UMNO Pakatan Harapan telah mengambil alih dengan ditunjangi oleh DAP.


Bagaimanapun kerajaan berkenaan hanya mampu bertahan 22 bulan kerana kerajaan yang ditunjangi parti cauvanis Cina itu telah membentuk dasar yang anti-Melayu dan bumiputera.

Dasar sedemikian menjadikan kaum majoriti di negara ini tertekan dan menolak kerajaan yang lebih menyantuni kaum minoriti.

Akhirnya melalui Langkah Sheraton kerajaan Pakatan telah tumbang dengan peletakkan jawatan Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan dengan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Kabinet baharu dibentuk dengan sistem empat menteri kanan yang mewakili parti-parti komponen kerajaan baharu, manakala jawatan timbalan perdana menteri dikosongkan.

Jawatan itu sepatutnya diisi oleh presiden UMNO dan pastilah Ahmad Zahid Hamidi.

Atas andaian kes terhadap beliau akan digugurkan setelah kembali berkuasa dan Zahid akan segera memegang tugas baharu itu.

Apabila Muhyiddin mengambil sikap tidak campur tangan dalam sistem keadilan, maka kes Zahid masih diteruskan termasuk juga kes Najib Razak.

Hubungan Zahid menjadi renggang dengan Muhyiddin ekoran keputusan itu dan memburukkan lagi keadaan apabila Najib sendiri telah didapati bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Muhyiddin pula mengambil pendekatan tidak masuk campur dalam urusan mahkamah kerana sedar ia tidak baik kepada kerajaan dan persepsi dunia terhadap Malaysia.

Sejak itu Zahid dan Najib setiap hari menyerang kerajaan Perikatan serta menjalankan gerakan untuk menumbangkan kerajaan dengan menggunakan usul tidak percaya di parlimen serta memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan bersama-sama DAP.

Bagaimanapun tandatangan surat sokongan tanpa berbincang dengan ahli-ahli parlimen UMNO akhirnya memakan diri sendiri apabila sebahagian besar mereka sebenarnya menolak jajaran politik baharu yang dibawa oleh kedua-dua pemimpin itu.

Perhimpunan agung UMNO yang lalu turut menolak jajaran politik baharu tersebut iaitu yang mahu bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Zahid dan Najib memang mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan ketua-ketua bahagian UMNO, namun apabila mereka membawa jajaran baharu politik, pengaruh mereka semakin luntur.

Kini Hishammuddin Hussein tampil dengan 25 tandatangan ahli parlimen UMNO daripada 42 orang yang menolak jajaran politik baharu.

Maka berlakulah pertembungan ahli parlimen dengan ketua-ketua bahagian yang menguasai akar umbi.

Bagaimanapun jika Zahid dan Najib meneruskan agenda jajaran politik baharu, mereka akan kehilangan sokongan akar umbi sebenarnya yang sejak sekian lama menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP dan Anwar.

Apa yang berlaku hari ini apabila UMNO cuba menyucikan DAP dan Anwar. Perbuatan itu sangat janggal serta sukar diterima oleh ahli UMNO.

Akar umbi UMNO lebih mahukan kepada penyatuan parti Melayu dan menjadi kuat kembali sebagaimana sebelum pilihan raya umum yang lalu.

Masalahnya kini akar umbi UMNO menolak Bersatu yang merupakan parti serpihan dan dianggap sebagai mengkhianati perjuangan parti tersebut.

Bila terdapat segelintir pemimpin Bersatu yang gatal tangan dengan mencampuri urusan UMNO, ia menambahkan lagi kejengkelan.

Hakikatnya semua harus menerima penyatuan Melayu adalah vaksin kepada penyakit politik di negara ini. Jika orang Melayu bersatu dan membentuk kerajaan yang kuat, ia tidak mampu digugat oleh mana-mana pihak dan pada masa yang sama kepentingan golongan minoriti terus diperjuangkan.

Formula yang dibawa oleh Barisan Nasional sebelum ini adalah yang terbaik dan terbukti memajukan negara ini dan ia gagal dilaksanakan oleh Pakatan yang terlalu berpaksikan parti cauvanis Cina.

Jika negara ini mahukan politik kembali stabil dan kembali diyakini oleh pelabur asing dan sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara, vaksin yang diperlukan adalah perpaduan Melayu dan perpaduan rakyat negara ini keseluruhannya.

(Visited 142 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button