Rencana

Bila politik hilang paksi kejujuran

SALAH satu asas kehidupan yang murni ialah kejujuran. Kejujuran kadangkala mudah terserlah tetapi pada kebanyakan masa kabur dan sukar diukur.

Paling sukar disukat atau diukur kejujuran adalah di dalam politik. Seni sepak terajang politik sukar diramal dan pemain lama sering menguasai buah penangan yang sukar dikalahkan lawan.

Samalah seperti kisah untuk melantik timbalan perdana menteri, bukanlah kisah baharu. Sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan apabila dikosongkan jawatan itu memang telah dijangka jawatan itu akan diisi oleh seseorang.

Bagaimanapun hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang mengetahui formulanya.

Ini adalah kerana perbincangan dan percaturan politik itu hanya dibuat secara empat mata dan tidak diketahui oleh individu lain.

Tetapi secara kasar bolehlah dianggap bahawa jawatan itu bakal diisi oleh Zahid sendiri, setelah beliau bebas daripada pertuduhan di mahkamah.

Bagaimanapun sikap Zahid mula berubah terhadap Muhyiddin dan kerajaan apabila terdapat usaha untuk memastikan beliau dijatuhkan hukuman berat, seperti yang Zahid sendiri pernah bercakap di mahkamah ketika tuduhan terhadap beliau ditambah.

Titik tolak kepada perubahan itu politik negara menjadi semakin kelam kabut dan Zahid melakukan pelbagai usaha bagi mempengaruhi UMNO untuk menekan kerajaan hari ini, dan pada satu tahap mahu menjatuhkan kerajaan dan kini mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan.

Usaha menjatuhkan kerajaan sebelum ini dibatalkan setelah beberapa siri rundingan ketika Parlimen bersidang bagi meluluskan belanjawan negara.

Bagaimanapun para pemimpin UMNO dan para pemimpin parti politik lain akur untuk menyokong kerajaan, manakala yang lain tidak hadir kerana kekal pendirian tidak menyokong kerajaan.

Zahid tampil pula dengan jajaran politik baharu iaitu kerajaan baharu melibatkan kerjasama DAP dan PKR. Bagaimanapun usaha ditolak mentah-mentah oleh partinya.

Pada masa yang sama sejak Januari lalu telah kencang bertiup bahawa seorang pemimpin UMNO akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Akhirnya ia diputuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik mengisi jawatan itu sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersidang pada sebelah malamnya.

Apabila Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri, ia secara automatik meredakan sedikit suhu politik negara. UMNO pula daripada menyerang untuk menumbangkang kerajaan, kini mengalih peluru mereka kepada perdana menteri.

Alasannya kini kerana Muhyiddin gagal menguruskan perang melawan pandemik, memastikan ekonomi negara tidak terus merudum dan kehidupan rakyat disantuni.

Pelbagai hujah dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Dan kali ini Muhyiddin berdepan dengan serangan UMNO dan parti pembangkang lain termasuk Pejuang yang baharu didaftarkan.

Maka kembalilah taktik menggunakan media asing bagi menunjukkan bahawa negara ini benar-benar gagal, sebagaimana digunakan ketika menyerang kerajaan dengan isu 1MDB ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Memang ramai yang termakan taktik tersebut, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membantu rakyat termasuk memberi potongan hutang kepada peneroka Felda dan pelbagai lagi bentuk bantuan berbilion ringgit sama ada disuntik langsung ke dalam ekonomi atau melalui dasar serta polisi secara tidak langsung.

Rakyat di bawah ramai yang bersyukur dengan bantuan diberi oleh kerajaan dan lega dengan program vaksinasi yang berjalan dengan lancar di seluruh negara.

Bagaimanapun orang politik tetap dengan percaturan mereka bagi meletakkan kesalahan ke atas perdana menteri dan kerajaan dengan berusaha menimbulkan pelbagai polemik dan isu.

Paling tidak bertanggungjawab ialah apabila menghasut rakyat untuk menuntut kehidupan normal di dalam situasi tidak normal yang dilalui di seluruh dunia akibat wabak pandemik Covid-19.

Kerajaan negeri Selangor pula sering mengamalkan dasar yang bertentang dengan kerajaan Pusat. Apabila kilang mahu ditutup, mereka berkeras mahu membuka kilang. Dan apabila kilang dibuka kini mereka pula mahu kilang-kilang ditutup setelah penularan wabak sukar dikawal.

Vaksinasi sangat perlahan di negeri berkenaan, mereka menyalahkan kerajaan Pusat, sedangkan mereka lebih teruja menjalankan ujian Covid-19 berbanding melaksanakan program vaksinasi.

Dengan cara itu dapatlah Selangor menyalahkan kerajaan Pusat dan memukul kompang kerajaan gagal.

Sedangkan jika Selangor menumpukan kepada program vaksinasi 80 peratus penduduk negeri berkenaan, negara kita akan dapat keluar dari krisis wabak ini dengan lebih cepat.

Kuala Lumpur negeri berjiran membuktikan bagaimana sasaran 80 peratus divaksin akan dicapai dalam masa terdekat ini dan Kuala Lumpur berjaya membentuk kekebalan berkelompok daripada jangkitan wabak berkenaan.

Syukurlah UMNO mulai sedar, apabila ketua pemudanya Ashraf Wajdi Dusuki menjadi pemimpin pertama hadir kepada pejabat Ismal Sabri.

Walaupun netizen mempertikaikan bagaimana Ashraf dapat merentas daerah ketika PKPD dilaksanakan untuk ke pejabat timbalan perdana menteri yang pastinya terletak di Putrajaya.

Selepas ini pastinya ramai pemimpin UMNO dapat melihat bahawa mereka perlu kembali kepada paksi kejujuran dan mengetepikan kepentingan peribadi demi negara yang tercinta.

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button