Politik

Ambo tidak fikir jadi hero perpecahan bawa kebaikan kepada sesiapa – Annuar

AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang dilihat seperti keseorangan dalam mempertahankan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam Kerajaan Perikatan Nasional menulis warkah terbuka kepada pengundi di kawasan beliau berhubung tindakan yang telah dia ambil.

Annuar yang merupakan Ahli Parlimen daripada UMNO berkata, beliau tidak terfikir untuk menunjukkan kekuatan dengan menggugat kerajaan yang telah dibina secara bersama.

Beliau yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional turut menegaskan tidak mahu menjadi hero kearah perpecahan kerana ia tidak membawa kebaikan kepada sesiapa.

“Ambo (saya) tidak fikir saya perlu tunjuk bisa dengan menggugat kerajaan yang kita bina bersama. Ambo tidak fikir kita perlu bertindak kerana taksub kepada sesiapa. Yang utama rakyat yang perlu kita bela.

“Ambo tidak fikir kalau ambo jadi hero kearah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa. Dalam kawasan kita ada PAS, ada PPBM dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik baik dari tak habis habis berbalah sesama kita.


“Mungkin cara ambo tak bisa, tak nampak berani untuk gomo sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan tapi ambo tetap berpegang orang Islam apabila diuji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan bercerai berai,” kata Annuar.

Berikut warkah penuh yang ditulis Annuar kepada rakyat Parlimen Ketereh:

Dalam PRU lalu,adik kakak pilih ambo sebagai wakil rakyat. Walau ahli UMNO Ketereh cuma 13,000 orang, undi ambo melebihi 25,000. Ertinya adik kakak bersatu hati melangkaui keahlian parti memilih ambo. ambo amat menghargainya.

Ambo percaya amanah diberikan bukan kerana ambo “orang lebih”, biso atau hebat sangat tapi kerana adik kakak mahu adik kakak dibela, majukan kawasan kita, jaga kebajikan orang kampong kita, serta kita suka kepada perpaduan sesama kita bersama moto kita Ketereh Koridor Ilmu, Rakyat Bersatu, Ketereh Maju.

PRU 14, BN kalah. Ambo jadi pembangkang. Adik kakak pun ingat bagaimana susahnya kita 22 bulan tanpa peruntukan membantu rakyat.

Dengan takdir Allah SWT serta berkat sabar adik kakak, kita menjadi kerajaan semula bila UMNO dan BN, Pas, PPBM, parti parti Sarawak dan Sabah sepakat membentuk Kerajaan Perikatan Nasional berteraskan pimpinan perpaduan Melayu Islam menggantikan PH pimpinan sosialis DAP dan PKR liberal.

Kawasan kita berubah. Berjuta peruntukan baiki prasarana desa. Pembinaan baru masjid masjid di sambung semula. MRSM ulul albab di lulus semula, lebuhraya Kota Bahru – Kuala Krai di sambung semula, bantuan Covid-19 dah pusingan ketiga untuk 15,000 keluarga, murid sekolah dibantu semula. Banyak lagi yang sedang kita usaha.

Ambo merasakan saat banjir melanda, penularan Covid-19 semakin bahaya, perpaduan Melayu makin renggang semula kita sepatutnya tidak terlalu bermain politik tapi bekerja untuk rakyat jelata tolong rakyat dan majukan Kelantan kita.

Ambo tidak fikir ambo perlu tunjuk bisa dengan menggugat kerajaan yang kita bina bersama. Ambo tidak fikir kita perlu bertindak kerana taksub kepada sesiapa. Yang utama rakyat yang perlu kita bela.

Ambo tidak fikir kalau ambo jadi hero kearah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa. Dalam kawasan kita ada PAS, ada PPBM dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik baik dari tak habis habis berbalah sesama kita.

Mungkin cara ambo tak bisa, tak nampak berani untuk gomo sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan tapi ambo tetap berpegang orang Islam apabila diuji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan bercerai berai.

Kita juga diingatkan jangan ambil musuh yang nyata (harbi) untuk dijadikan teman yang dipercayai dengan meninggalkan teman sesama kita.

Ambo juga merasakan bila dipinjamkan kuasa, kita gunakannya untuk bela rakyat dan pengundi kita. Justeru kita perlu bertindak bijaksana dan bukannya ikut suka hati kita. Wallahuaklam

Maka kepada adik kakak orghe Parlimen terre, terus bermuafakat dan bersatu padu. Kita saling bantu membantu. Insyaallah kita beroleh rahmat,keberkatan dan jiwa yg tenang. wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ambo tok wakil adik kakak, berkhidmat untuk semua.

Annuar Musa. P026. Ketereh. 10 Januari 2021.-SM

(Visited 338 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button