Politik

Ucapan tahun baharu Ahmad Zahid bayangkan anjakan paradigma UMNO

DALAM melangkah ke tahun baharu yang berbaki beberapa jam sahaja lagi, UMNO dikatakan bersedia menghadapi anjakan paradigma baharu dalam politiknya.

Anjakan tersebut dikatakan sebagai ‘politik matang’ yang diazam menjadi komitmen UMNO untuk menghentikan sengketa antara parti-parti politik.

Malah, parti-parti politik juga dikatakan tidak sepatutnya bermusuhan antara satu sama lain, dan jika sama-sama bergerak sederap, kemajuan dapan dilaksanakan dalam waktu sukar.

Meneliti semula ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, parti terbesar bangsa Melayu itu menzahirkan kesediaan untuk bekerjsama dengan sesiapa sahaja.

Kerjasama tersebut mungkin melibatkan parti-parti yang sudah terlalu lama menjadi seteru seperti DAP dan PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) yang sebelum ini kepimpinan dan ahlinya adalah daripada Pas.

“Saya sedar kerajaan ini tidak stabil, tidak seperti kerajaan kami yang di mana UMNO dan Barisan Nasional telah memerintah, namun inilah realiti baharu yang perlu kita hadapi.

“Sudah sampai masanya kita abaikan retorik politik, sejukkan keadaan kerana parti politik tidak sepatutnya bermusuhan.

“Tiada pemimpin yang harus menjadi seteru kita dan demi kemajuan kita perlu berhenti daripada persengketaan sesama kita.

“Saya menjemput parti-parti politik dan kepimpinan untuk bersama memikirkan pendekatan terbaik untuk memacu ekonomi, mencipta pekerjaan, memeriahkan landskap perniagaan, mengurangkan kos sara hidup dan membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.”

Kata Ahmad Zahid dalam ketika siaran langsung ucapan sempena sambutan tahun baharu 2021 pada petang tadi.

Keazaman yang dizahirkan beliau untuk menghentikan sengketa adalah ekoran daripada impak pandemik Koronavirus (Covid-19) yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Justeru, beliau menyatakan UMNO membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima kerjasama daripada mana-mana pihak demi kebaikan negara.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, dalam situasi yang mencabar dan luar biasa ini, pendekatan dan keputusan luar biasa juga perlu dilakukan.

“Banyak bisnes yang gulung tikar, ada industri kecil dan sederhana atau IKS yang ‘hidup segan mati tak mahu’ dan terpaksa gulung tikar, pemandu teksi dan e-hailing turut terjejas, pemilik restoran dan perniagaan kecil-kecilan turut terjerut.

“Waktu yang mencabar ini, memerlukan kepimpinan yang berwibawa, sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, izinkan saya mengambil langkah pertama untuk menjemput parti-parti politik dan kepimpinan untuk mengadakan perbincangan dan buktikan kepada rakyat.

“Tidak kira sama ada kita Melayu, Cina, India, Iban Kadazan dan Orang Asli sekalipun, kita semua mampu untuk mengangkat politik matang dan meletakkan keutamaan kepada negara yang kian merasai impak sebuah pandemik.

“Di dalam politik, tidak ada yang pasti, politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat dan dalam keadaan yang luar biasa ini pendekatan dan persetujuan luar biasa juga perlu dicapai.

“Kepimpinan sejati yang rakyat mahukan harus memberi fokus kepada keperluan rakyat dan negara,” ucapnya. – SM

 

(Visited 445 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button