Jenayah

Sindiket visa Bangladesh hantar duit ikut “bawah tanah” atau hawala – SPRM

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini mendedahkan kewujudan sistem ‘hawala’ berhubung kes rasuah berkaitan kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

Sistem hawala merujuk kepada penghantaran wang melalui kaedah ‘bawah tanah’ tanpa melibatkan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran pemakaian kamera badan dan jaket SPRM di sini hari ini, Azam berkata pihaknya sedang mengesan beberapa transaksi wang yang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk memasuki negara.

“Kami juga mengesyaki terdapat sejumlah besar wang yang disalurkan melalui sistem hawala di beberapa tempat,” katanya.

VLN merupakan visa lawatan sosial untuk pelancong luar memasuki Malaysia bagi tempoh tertentu dan menurut undang-undang negara, pelancong Bangladesh dibenarkan menetap di Malaysia selama 30 hari dan tidak layak didaftar untuk sistem permit kerja.

Menurutnya siasatan lanjut SPRM mendapati lambakan pekerja Bangladesh di Malaysia adalah menerusi sistem VLN yang disalahgunakan untuk bekerja dalam negara serta tidak melalui saluran pengambilan pekerja asing yang betul.

Isu penyelewengan permohonan VLN oleh warga Bangladesh mendapat liputan meluas sejak April lepas susulan penahanan dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.

Seorang pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh adalah antara dua individu ditahan pada 28 lepas kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM100 juta sejak 2021.

Siasatan mendapati pegawai itu dipercayai menerima bayaran sekitar RM1,363 (US$300) ke RM2,272 (US$500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN melibatkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

Mengulas isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah, beliau berkata setakat ini empat individu ditahan dan pihak SPRM akan memanggil lebih ramai saksi.

“Kita masih perlu untuk memanggil lebih ramai saksi untuk siasatan lanjut. Dalam hal ini, kita bukan saja menyiasat berhubung isu wang, malah isu pematuhan kelulusan REE.

“SPRM bukan saja siasat berhubung kesalahan di bawah rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, tetapi menjadi tanggungjawab kami di bawah Seksyen 7 (Akta SPRM 2009) untuk melihat kepada sistem dan prosedur yang ada, sekiranya terdapat kelemahan dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button