Sukan

Vidakovic tidak terkejut dipecat Melaka United FC

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 15 April – Jurulatih Melaka United FC (MUFC), Risto Vidakovic tidak terkejut sebaliknya sudah
menjangkakan kontraknya akan ditamatkan awal selepas pasukan yang dibimbingi baru mengharungi empat
perlawanan Liga Super.

Kata jurulatih itu, dia sama sekali tidak menjangka kenyataan terbukanya kepada media berhubung kelewatan
pembayaran gaji pemain dan pegawai selepas aksi dengan Sabah 5 April lalu adalah penamat kariernya dalam
saingan Liga Malaysia (Liga M).

Jelasnya, dia menerima keputusan pemecatannya dengan rela hati selepas berbincang dengan pihak pengurusan
Selasa lalu.

“Saya terima surat pemecatan dengan hati terbuka. Ini memang sudah dijangkakan sejak saya membuat
kenyataan secara terbuka bahawa pihak pengurusan tidak membayar gaji pemain dan pegawai selama tiga bulan.

“Saya buat ini kerana simpati dengan keluhan pemain setiap kali turun padang menjalani latihan mereka
seringkali bercakap mengenai kelewatan gaji hingga hilang fokus sewaktu sesi latihan.

“Apa pun saya gembira kerana tindakan itu akhirnya pemain dan pegawai menerima gaji sebelum perlawanan
menentang KL City.

“Kalau saya tidak buat kenyataan tersebut, mungkin pegawai dan pemain hingga sekarang belum menerima
sebarang gaji mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Vidakovic menjadi jurulatih pertama dalam Liga Super dipecat walaupun saingan Melaka sekadar mengharungi
empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Terdahulu, pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim berkata, pemecatan Vidakovic sebagai jurulatih skuad Sang
Kancil dibuat ekoran prestasi buruk skuad itu apabila daripada empat perlawanan tidak mencatat sebarang
kemenangan.

Menurutnya, penamatan kontrak jurulatih itu dibuat pada Selasa atas persetujuan bersama kedua-dua belah
pihak.

Mengulas lanjut Vidakovic berkata, dia agak kecewa dengan nasibnya tidak berpanjangan dengan Melaka
walaupun sudah lama berhasrat untuk menjadi jurulatih dalam Liga M.

“Apa boleh saya buat lagi, inilah bola sepak yang sukar diramal. Ini pengalaman pahit saya sepanjang
menjadi jurulatih.

“Seperkara lagi, sepanjang menjadi pemain ketika berusia 17 tahun kelewatan bayaran gaji jarang saya alami
dan ini adalah pengalaman pertama,” ujarnya.

Jurulatih itu berkata, dia akan pulang ke negaranya minggu hadapan dan setakat ini belum merancang untuk
menyertai pasukan lain.

Untuk rekod, Melaka tewas 0-1 pada aksi pembukaan di tangan PJ City, sebelum mengutip satu mata apabila
terikat 1-1 dengan Penang FC dan kemudian kalah dalam dua perlawanan berdepan Sabah dan KL City.

 

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button