Sukan

Hafizh harap pembedahan tangan dapat bantu tingkat prestasi

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah meletakkan harapan besar terhadap kejayaan pembedahan tangan kanan yang dilaksanakan di Hospital Pantai Bangsar, minggu lalu, dalam usahanya untuk berada pada tahap kecergasan 100 peratus menjelang perlumbaan pembuka tirai musim 2021 di Litar Losail Qatar, hujung Mac ini.

Hafizh yang bakal berlumba bersama pasukan NTS RW Racing GP berkata, proses penyembuhan tangannya itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya selama tiga minggu hingga sebulan.

“Doktor kata saya tak boleh buat kerja berat seperti latihan yang banyak menggunakan tangan.

“Apa-apa pun saya sasarkan untuk kembali berlatih dalam masa dua minggu, tetapi secara perlahan-lahan,” kata Hafizh dalam satu kenyataan kepada media di ibu negara, semalam.

Anak muda berusia 26 tahun itu melakukan pembedahan tersebut bagi mengeluarkan dua besi yang dimasukkan di bahagian belakang tapak tangan kanan Hafizh selepas insiden kemalangan yang menimpanya pada 2016.

Menurutnya, keputusan untuk membuang besi tersebut diambil kerana tindak balas  tangan kanannya yang agak perlahan.

Justeru jelas Hafizh, dia terpaksa membuang besi itu supaya pergerakkan tangannya lebih baik.

“Saya buat keputusan ini juga untuk masa depan yang lebih baik. Sebab itu, sasaran saya ialah supaya tangan saya cepat pulih.

“Supaya saya boleh beraksi 100 peratus. Kalau tak dapat beraksi 100 peratus pun, sekurang-kurangnya saya dapat buat 90 peratus itu ada dalam keyakinan saya,” ujarnya.

Bekas pelumba Aspar Team itu mengakhiri aksinya musim lalu di tangga ke-21 daripada 35 pelumba setelah mengumpul 21 mata keseluruhan. – SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button