Nasional

UPSI perkenal sistem Champ, indikator baharu tingkat aktiviti mahasiswa secara holistik

Cabaran meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan mahasiswa mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan Sistem CHAMP (Comprehensive Holistic Activites Mapping Protocol) bagi meningkatkan penglibatan mahasiswa dalam program anjuran universiti dan badan pelajar secara holistik.

Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya sentiasa komited mengkaji indikator dan strategi baharu khususnya dalam meningkatkan jumlah jam penglibatan mahasiswa menerusi program anjuran universiti dan badan pelajar. Melalui indikator yang baharu ini ia dapat mengatasi masalah kelesuan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti anjuran universiti.

Logo Champ

Ia menjadi kerisauan pihak pengurusan tertinggi universiti sekiranya masih ada mahasiswa dan mahasiswi yang hanya fokus pada akademik semata-mata tanpa bijak mencari peluang untuk aktif di universiti, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Amin berkata, universiti sentiasa efisyen dalam menawarkan program-program anjuran universiti yang berimpak tinggi seperti aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan, kesukanan dan kecergasan, pengembangan komunikasi dan teknologi, kesenian, kebudayaan dan sosial serta keusahawanan seperti yang terkandung dalam enam kluster CHAMP.
Justeru, katanya, UPSI berusaha memotivasi dan menjajarkan keterlibatan mahasiswa untuk lebih aktif dan holistik agar dapat dijadikan pentaksiran kepada kecenderungan, keaktifan dan kualiti penglibatan mahasiswa melalui aktiviti-aktiviti yang disertai.

 

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

Beliau berkata, indikator berkenaan juga membantu pihak pengurusan untuk mengenalpasti keperluan holistik pelajar yang boleh memenuhi keperluan majikan dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UPSI. Menurut beliau, sistem CHAMP ini bertujuan untuk membantu mahasiswa menstabilkan jumlah jam penglibatan aktiviti di universiti secara konsisten.

“CHAMP jelas dapat membantu mahasiswa di UPSI mewujudkan rasa cinta untuk menyertai aktiviti, malah ia lebih efektif untuk mahasiswa itu sendiri apabila bergraduat nanti,” katanya.

Timbalan Naib Canselor( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, UPSI akan menggerakkan Majlis Perwakilan Pelajar (mpp) serta Kelab dan Persatuan sebagai penganjur aktiviti berimpak tinggi di universiti dan menerapkan elemen ukhwah, prihatin, impak dan santun supaya dapat menarik penglibatan mahasiswa dan mahasiswi secara meluas.

“Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa komited menyediakan platform dan aktiviti yang menarik supaya mahasiswa dan mahasiswi UPSI kekal aktif dan menyumbang untuk universiti yang tercinta ini,” katanya.
Sistem CHAMP dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang melibatkan kakitangan akademik dan pentadbiran UPSI iaitu Dr Ikhwan Hadi, Mohamad Afif Ammar Kamsani, Mohd Aliff Ikmal Mohd Anuar, Ahmad Rifaie Amin, Syamimah binti Abdul Hamid, Marlina Manja binti Che Baharum, Mohd Azraai Arifin, serta Suhaimi Zulkipli.

Kakitangan UPSI yang membangunkankan sistem CHAMP ketika menyertai Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia ke- 33 di KLCC baru-baru ini.

Pegawai Hal Pelajar, Mohd Aliff Ikmal Mohd Anuar, berpendapat sistem CHAMP mempermudahkan pelajar menilai tahap pencapaian mereka dalam penyertaan aktiviti yang dilaksanakan di universiti dan mengenalpasti kualiti penglibatan mereka.

“Kami sangat komited memastikan Sistem CHAMP ini kekal relevan kepada pelajar supaya tiada pelajar yang tercicir dalam menyertai aktiviti,” katanya.

Sistem CHAMP juga, katanya, merangkul Anugerah Emas bagi Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia (ITEX 2022) yang ke- 33 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini.

(Visited 682 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button