Nasional

UPSI globalkan daerah Muallim

NAIB Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sepanjang 25 tahun gemilang ini, lebih 100,000 anak pelajar dianugerahi skrol dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bersejarah ini.

Sehingga Oktober 2023, katanya, seramai lebih 1,600 pelajar antarabangsa dari tujuh benua menjadikan Muallim sebagai madrasahnya.

“Insyallah menjelang 2025, seramai 2,500 pelajar antarabangsa disasarkan menjadikan Daerah Muallim sebagai kota ilmu di Negeri Perak yang berdaulat ini.

Ketika berucap pada sesi pertama majlis Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah , katanya, usaha meletakkan nama UPSI dan Muallim di persada antarabangsa juga diimarahkan lagi dengan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan.

Kehadiran pelajar antarabangsa ini, disokong dengan keberadaan lebih dua puluh lapan ribu pelajar dan staf tempatan, UPSI dianggarkan menyumbangkan sejumlah 400 ratus juta Ringgit Malaysia setahun kepada ekonomi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Mohd Khairuddin Othman serta Kedutaan Emeriyah Arab Bersatu di Malaysia , Dr Mubarak Saeed AlDhaheri.

Bagi membenihkan hasrat Daerah Muallim global ini, katanya, UPSI giat menubuhkan tujuh Pusat Antarabangsa Bahasa Melayu di seluruh dunia, antaranya di University of London, University of Moscow, University of Dhaka, Tashkent State University of Oriental Studies dan Uzbekistan State World Language University.

Penubuhan pusat pengajian antarabangsa itu mula membuahkan hasil apabila pelajarnya muncul sebagai Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu selama tiga tahun berturut-turut.

“UPSI juga membina hubungan akrab dengan Harvard University, Oxford University, MIT, University of Pensylvania, University of Sydney dan National University of Singapore membolehkan akademia UPSI mempertingkatkan pengetahuan selain mempelajari pelbagai ilmu terkini dari universiti-universiti terbaik di dunia ini.

Beliau berkata penyelidikan bersama, pertukaran pensyarah dan pelajar serta forum antarabangsa bersama universiti terbaik dunia ini bakal meletakkan UPSI, sebagai tanda aras dunia suatu hari nanti.

“Legasi UPSI sebagai universiti pendidikan yang berusia lebih 100 tahun, diteruskan dengan pelbagai inisiatif pendidikan global dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan tahfiz, pendidikan digital dan META teknologi,” katanya.

UPSI juga, katanya, tidak ketinggalan dalam memastikan inklusiviti melalui program pendidikan masyarakat orang asli, pendidikan masyarakat luar bandar, pendidikan pesalah juvenil dan pendidikan untuk anak-anak pelarian.

“Hasratnya tidak lain tidak bukan, untuk menjadikan negeri Perak tersohor dalam bidang pendidikan dan semoga inisiatif murni ini juga dapat memperlengkapkan bakal pendidik kelahiran UPSI dengan pelbagai kemahiran pedagogi dan keinsanan.

Beliau berkata UPSI juga giat memperlengkapkan diri dengan prasarana bertaraf antarabangsa seperti pembinaan pusat kesihatan yang baharu, UPSI Digital Library, UPSI Residential & Community Centre (URCC), UPSI Glamping Park, Institut Tahfiz dan Turath Islami bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada warga UPSI malahan kepada daerah Muallim dan rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan atas pelantikan Tan Sri Dr. Ismail Bakar sebagai Pro Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baharu dan berharap Dr Ismail dapat menyuntik semangat serta menaikkan lagi nama UPSI di persada dunia.

Pada sesi hari ini juga, katanya, seramai 42 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan menerima ijazah daripada Canselor, Tuanku Zara Salim.

Beliau berkata UPSI mempunyai kerjasama dengan Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom yang mana salah seorang pelajar semester enam daripada program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat akan dihantar ke OXCIS sepanjang bulan Ramadan dalam program Qari in Residence.

Menurut beliau program pertukaran pelajar dari UPSI ke University of Oxford itu adalah cetusan ilham oleh Tuanku Canselor sendiri. -SM

Baca : 7616 graduan dirai sempena konvokesyen ke-25 UPSI

(Visited 26 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button