KesihatanNasionalPenyakit

Covid-19: Menteri Kesihatan suruh orang ramai dapatkan dos penggalak kedua

China menunjukkan penginkatana kes Covid-19

ORANG ramai digesa mendapatkan suntikan dos penggalak kedua susulan peningkatan kes Covid-19 di China, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini hanya 1.9% sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

“KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaliha berkata, KKM berharap peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat terutama melibatkan golongan berisiko.


Katanya lagi, ini memandangkan ketika ini hanya 49.8% sahaja rakyat yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama.

Pada 30 Disember lalu, Zaliha mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam ekoran kebimbangan lonjakan kes Covid-19 di China.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, beliau mengambil serius kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara itu.

Zaliha berkata, perkara itu sememangnya merupakan keutamaan Kementerian Kesihatan ketika ini.

“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023 ini, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan,” ujar beliau.

Antara tindakan segera boleh dilakukan termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara dan memperketatkan SOP pemeriksaan kesihatan di mana -mana pintu masuk negara, katanya.

Tambah beliau, tindakan itu akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.

“KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Zaliha juga memaklumkan berdasarkan maklumat dilaporkan China kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.

Katanya, merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus itu dan sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.

“Selain itu, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan pihak berkuasa kawalan dadah, baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya,” katanya. – SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button