Nasional

25 ahli Geng TCB 21 ditahan

POLIS menahan sebanyak 25 ahli Geng TCB 21 yang merupakan kumupulan kongsi gelap haram dan aktif melakukan kesalahan jenayah serius.

Antara kes jenayah yang dilakukan kumpulan tersebut ialah cubaan bunuh menggunakan senjata api, melepaskan tembakan dalam rusuhan, merompak, membakar kereta, pemerasan dan lain-lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengenal pasti kumpulan tersebut yang aktif di Banting dan Dengkil pada September lalu.

“Pada 13 dan 14 Oktober lalu, kita telah melancarkan operasi dan berjaya menahan sebanyak 29 ahli geng tersebut di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan tahanan selama 28 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Huzir, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara namun keterangan yang ada tidak mencukup untuk mendakwa mereka.

Jelasnya, siasatan pihaknya bagaimanapun mendapati Geng TCB 21 adalah kumpulan yang banyak terlibat dengan kesalahan jenayah yang serius.

“Kita mempunyai keterangan yang mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas kumpulan ini di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1969 dan menahan 25 ahli geng tersebut pada 12 November lalu,” katanya.

Tambahnya, tindakan ini bertujuan untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan serta memastikan kumpulan itu dapat dibanteras sepenuhnya. -SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button