BeritaPolitik

UMNO Selangor boikot Hishammuddin dan budak suruhan

KETUA-KETUA bahagian UMNO Selangor bertindak memboikot mesyuarat badan perhubungan negeri itu hingga menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.

Tindakan itu adalah sebagai tanda protes terhadap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dituduh bersekongkol dengan pemimpin Pakatan Harapan apabila mengepalai gerombolan pemimpin UMNO mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Azmin Ali sejurus kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Tanjung Piai tempoh hari.

Pertemuan tersebut dikatakan bertujuan bagi membuat pakatan sulit untuk mengelakkan undian tidak percaya kerana dikhuatiri akan dilakukan oleh pihak dalaman Pakatan Harapan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, para pemimpin UMNO Selangor kecewa kerana Hishammuddin meletakkan orang-orangnya di negeri berkenaan diketuai oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Mereka sebelum ini telah membantah tindakan diambil oleh Hishammuddin, tetapi kemuncaknya semalam apabila pemimpin UMNO Johor itu mengadakan pertemuan sulit dengan pihak lain tanpa menghormati hirarki parti dan sokongan akar umbi.

“Daripada 22 ketua bahagian selain daripada pengurusan (pengerusi, timbalan pengerusi, penerangan dan bendahari) hanya Tan Sri Noh Omar yang datang sebagai ahli jawatankuasa. Seramai 16 orang lagi tidak hadir,” katanya.

Malaysiakini melaporkan ketidakhadiran ketua-ketua UMNO bahagian itu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baru dilantik Julai lalu, Nadzari Ahmad.

Laporan memetik sumber itu berkata pengurusan UMNO Selangor juga terlalu dibayangi bekas naib presiden parti itu, Hishamuddin.

Malah, Nadzari juga didakwa merupakan ‘budak suruhan’ anggota parlimen Sembrong itu.

“Jadi, kami tidak berminat untuk mengadakan mesyuarat perhubungan yang dipengerusikan ‘budak suruhan’ Hishamuddin.

“Kami juga pernah menasihati ‘budak suruhan’ Hishamuddin supaya jangan keterlaluan tetapi mereka tidak mengendahkan nasihat daripada ketua-ketua bahagian, maka berlakulah protes dan boikot ini,” katanya.

“Kami tidak mahu pimpinan Selangor ini cenderung kepada mana-mana individu yang bukan daripada struktur parti.

“Kami sedar kami adalah parti pembangkang yang kalah teruk di Selangor. Tetapi kami tidak mahu lagi kesilapan-kesilapan lampau akan memecahbelahkan serta menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button