Politik

Calon bebas proksi PH – Shahril

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan dan yakin Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim lebih sengit daripada PRK DUN Chini memandangkan calon Bebas kali ini bukannya secara berselindung lagi berada di sebalik Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya keduanya calon bebas kali ini cukup-cukup didukung pembangkang dan pihaknya yakin mereka akan dibantu secara sepenuhnya oleh jentera dan mesra PH selain memperlihatkan ianya bukan lagi berselindung separuh-separuh daripada wajah yang sebenar.

‘’Atas sebab itu saya yakin pertandingan ini akan lebih sengit daripada Chini dan kita mengalu-alukan pertandingan serta persaingan yang sengit tersebut kerana kita tidak mahu hanya menang di kawasan undi yang memang patut kita menang besar sepertimana di Chini.

‘’Jadi persiapan yang telah dibuat akan dilaksanakan sepanjang 13 hari ini amat soignifikan untuk menjadi medan ujian ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang,’’ katanya lapor UMNO ONLINE.

Beliau berkata demikian dalam Segmen Bicara PRK Slim terbitan Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), di sini, Sabtu malam.

Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN seterusnya menegaskan kempen seperti biasa dan ianya lebih berhati-hati, namun pada masa yang sama ini adalah peluang untuk melihat tahap sokongan kepelbagaian masyarakat yang ada.

Tambahnya kalau di DUN Chini didominasi oleh Felda, ada kampung tradisi dan sebagainyanya lagi dengan majoriti pengundi Melayu, namun di DUN Slim terdapat pengundi yang pelbagai kaum dan pelbagai latar belakang.

‘’Di sini kita ada 10 peratus pengundi Cina dan tujuh hingga lapan peratus jika tidak silap saya pengundi India. Di situ cukup saiznya untuk kita kaji dan ada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana terdapat dua atau tiga PDM yang  majoriti Cina dan dua PDM yang majoriti kaum India yang cukup untuk kita melihat sama ada wujud atau tidak ‘swing’,  perubahan ‘mood’ pengundi. Walaupun kita selalu sebut keputusan PRK ini bukannya kayu ukur 100 peratus kepada PRU tetapi ianya masih ada nilai kayu ukur tersebut.

‘’Jadi kita nak melihat dan kita tidak dapat menyamakan dengan Chini. Kita boleh melihat di Slim. Ada tak perubahan perasaan di kalangan pengundi-pengundi mengikut kaum dan mengikut umur serta sebagainya disebabkan ianya mewakili segenap masyarakat berbanding Chini,’’ ujarnya.

Dalam pada itu Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO turut melontarkan hasratnya untuk melihat serta membuat penilaian yang spesifik dari segi peralihan sokongan orang muda itu sendiri dalam beberapa konteks.

‘’Saya juga ada ‘interest’ yang amat sfesifik dari segi peralihan sokongan orang muda… kita menang lima PRK berturut-turut sebelum kita berubah kepada peralihan kerajaan. Ini adalah PRK kedua selepas peralihan kerajaan dan seperti yang sebutkan tadi Chini itu ianya agak unik. Jadi saya rasa ini adalah ujian yang lebih tepat.

‘’Ada tak perasaan orang muda yang mungkin kembali seronok kepada PH… minta-minta tidaklah… ini adalah ujian. Ada atau tidak perasaan di mana mereka merasakan setelah perubahan kerajaan itu, perasaan marah mereka terhadap PH yang kita saksikan pada siri PRK sebelum ini adakah ianya berkurang.

‘’Jadi ini persoalan-persoalan besar sebenarnya dalam congakan-congakan dan strategi kita ke arah PRU-15. Dan juga apa juga perasaan mereka terhadap kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Bagaimana mereka melihat UMNO dalam konteks kerajaan Tan Sri Muhyiddin? Itu pun semua persoalan-persoalan selalu dibincangkan oleh pengamal politik tetapi selama ini banyak andaian. Ini PRK pertama untuk kita uji hipotesis-hipotesis tersebut,’’ ujarnya lagi.

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button