Politik

UMNO Jasin lulus usul Ismail Sabri calon PM ke-10

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin hari ini meluluskan usul sebulat suara tanpa berbelah menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Hasan Rahman berkata, usul yang dibawa oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Roslan Ahmad itu telah disokong oleh Pergerakan Pemuda serta dibahas oleh Pergerakan Wanita dan Puteri serta mendapat sokongan penuh daripada 540 perwakilan.

Menurutnya, usul yang dikemukakan itu adalah selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini termasuk pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas apabila menamakan penyandang kerusi Parlimen Bera merangkap Naib Presiden UMNO itu sebagai calon
Perdana Menteri sebelum dan selepas PRU15.

“Alhamdulillah UMNO Bahagian Jasin telah mencapai kata sepakat daripada usul yang dibawa itu di mana seluruh kepimpinan akar umbi memberi mandat penuh kepada Ismail Sabri bukan sahaja menjadi
poster boy untuk PRU15 tetapi juga calon Perdana Menteri ke-10.

“Usul ini adalah sebulat suara mengikut ketetapan yang dibuat oleh MT dan PAU Khas untuk memastikan Naib Presiden UMNO terus diberi mandat dan kepercayaan menerajui kepimpinan negara jika BN menang pada PRU15 nanti,” ujarnya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO
Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, Jasin di sini hari ini.


Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRU15 Hasan berkata, seramai 23,000 ahli parti sudah bersiap sedia bagi memastikan kerusi tradisi Parlimen Jasin akan terus menjadi milik BN.

Menurutnya, gerakan kerja telah dimulakan untuk memastikan 96,000 pengundi di kawasan tersebut akan terus memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja calon yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti bertanding di situ nanti.

“Saya difahamkan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari akan bertanding di Jasin dan begitu juga calon Perikatan Nasional (PN) Dr. Mohd. Yadzil Yaakub,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara tersebut beliau menegaskan UMNO Bahagian Jasin tidak gentar untuk berdepan dengan kedua-dua calon berkenaan jika ditakdirkan mereka akan bertanding di Parlimen berkenaan.

Hasan berkata, beliau yakin pengundi di Jasin akan terus memberi mandat kepada BN untuk mempertahankan Parlimen Jasin berdasarkan prestasi cemerlang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button